Amirul Hafiz Omar kehilangan nyawanya di jalan raya minggu ini dalam satu kejadian yang sepatutnya boleh dielakkan. Seorang lelaki 30-an yang melakukan dua kerja demi menyara keluarga, akhirnya meninggalkan tiga orang anak yang masih kecil.
Pemandu tersebut, yang dilaporkan berada bawah pengaruh alkohol dan dadah, masuk ke lorong bertentangan dan merempuh motosikal Amirul.
Tragedi yang amat mendalam ini sewajarnya mendapat maklum balas segera dan penuh dukacita daripada orang awam. Di tengah-tengah semua ini, ada nyawa yang hilang dan sebuah keluarga yang kini perlu hidup dalam kehilangan itu. Tiada keputusan undang-undang yang boleh memulihkan atau menggantikan kehilangan tersebut.
Namun, dalam tragedi sebegini, kita mestilah menahan diri daripada mengikut perasaan atau memberikan tindak balas melulu, sebaliknya kekal tenang dan berhati-hati dalam mempertimbangkan soal keadilan.
Pertuduhan bunuh mampan atau tidak?
Pemandu tersebut didakwa atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan sendiri dan tuduhan membunuh. Dia sudah mengaku bersalah atas pertuduhan penggunaan dadah.
Sebaliknya, keputusan untuk meneruskan pertuduhan membunuh menimbulkan beberapa persoalan. Ini bukanlah persoalan abstrak, kerana ia berkaitan dengan bagaimana keadilan disampaikan kepada keluarga seperti keluarga Amirul. Bersikap adil kepada keluarga juga bermakna memastikan pertuduhan yang dibawa adalah kukuh, mampan dan mampu dipertahan hingga ke akhir.
Bagaimanakah pihak pendakwaan akan membuktikan elemen-elemen yang diperlukan untuk sabitan membunuh dalam kes ini? Adakah ia akan bergantung kepada Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan untuk berbuat demikian?
Jika pertuduhan itu tidak dapat dipertahankan, adakah ia akan ditukar semula kenyebabkan kematian tanpa niat membunuh atau jika tidak, kesalahan sedia ada bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987?

Atau adakah keluarga tersebut akan dibiarkan mengharungi proses rayuan yang berlarutan bertahun-tahun demi mengejar sabitan membunuh, sekiranya pertuduhan membunuh itu gagal?
Jika pertuduhan itu dikekalkan, apakah maknanya bagi Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang sememangnya menyediakan peruntukan bagi kesalahan memandu secara berbahaya atau melulu sehingga menyebabkan kematian?
Secara lebih luas, apakah maksudnya kepada keluarga mangsa dalam kes-kes terdahulu, yang pertuduhan bawah Seksyen 41(1) dikemuka dan bukannya pertuduhan membunuh?
Persoalan-persoalan ini mungkin akan menjadi lebih jelas atau sebaliknya seiring waktu, tetapi berdasarkan keadaan sekarang, ia menimbulkan kebimbangan munasabah tentang sama ada kes ini dikendalikan secara tertib dan berprinsip, atau dengan cara yang dilihat sekadar menjawab kemarahan awam dengan kemungkinan mengorbankan kejelasan serta kepastian bagi keluarga mangsa.
Kita terhutang kepada keluarga Amirul satu bentuk penutupan kes, dan itu memerlukan pertuduhan yang boleh dipertahankan sehingga selesai, dan bukannya pertuduhan yang berisiko membuka semula luka lama.
Hukuman berat sebagai penyelesaian
Naluri untuk menuntut akauntabiliti melalui undang-undang adalah sifat semula jadi manusia. Walaupun tuntutan sedemikian adalah reaksi yang boleh difahami daripada keluarga yang berduka dan orang awam, ia amat mengejutkan dan membimbangkan apabila tuntutan untuk hukuman paling berat, termasuk hukuman mati bagi pemandu mabuk, turut dilaungkan oleh mereka yang diberi amanah untuk merangka, memahami dan menegakkan undang-undang.

Apa yang kita tahu tentang kes ini setakat ini menunjukkan bahawa kita tidak berhadapan dengan satu saja masalah. Sebaliknya, kita menyaksikan pertembungan isu sistemik yang tidak selesai: memandu bawah pengaruh alkohol, kemungkinan ketagihan dadah, tingkah laku melulu, dan penguatkuasaan undang-undang trafik yang lemah, semuanya berlaku dalam satu saat yang tidak boleh diubah.
Ini bukan isu baharu, dan ia bukan di luar pengetahuan para anggota parlimen dan ahli politik. Namun, apabila maklum balas terhadap tragedi sebegini terus tertumpu kepada tuntutan hukuman paling berat, beban untuk menyelesaikan isu-isu ini pada dasarnya diletakkan terhadap sistem keadilan jenayah yang tidak pernah direka untuk menanganinya, sementara mereka yang bertanggungjawab menangani kegagalan sistemik ini berundur daripada tanggungjawab.
Undang-undang jenayah sememangnya menetapkan kesalahan dan mengenakan hukuman selepas kejadian berlaku. Apa yang ia tidak dapat lakukan secara berkesan adalah mencorakkan tingkah laku pada saat keputusan dibuat.
Oleh itu, kita perlu bertanya: sejauh manakah ancaman undang-undang sebenarnya menghalang tingkah laku yang membawa kepada kemudaratan?
Gesaan melulu agar seseorang dihukum gantung semata-mata bersandarkan kepada Teori Pencegahan Klasik—andaian lapuk bahawa bakal penjenayah adalah individu rasional yang mampu mempertimbangkan buruk baik tindakan mereka secara tenang sebelum melakukan jenayah.
Dalam kes ini, yang tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan dadah, kita mungkin tidak akan memahami sepenuhnya apa yang membawa kepada pengambilan alkohol dan dadah atau bagaimana bahan-bahan ini mencorakkan keputusannya untuk memandu ketika khayal, melainkan bukti sedemikian muncul dalam perbicaraan kes bunuh tersebut.
Pemandu mabuk bertindak mengikut keadaan emosi yang 'marak' (tidak stabil), ketika tahap gangguan yang teruk menutup terus keupayaan mereka untuk berfikir secara waras tentang risiko perbuatan tersebut.
Dalam kes ini, kemungkinan hukuman mati hanya timbul kerana pertuduhan dirangka sebagai membunuh selepas kejadian itu berlaku. Oleh itu, tidak jelas sama ada ancaman hukuman mati boleh menjadi penghalang pada masa tertuduh membuat keputusan, dan sama ada ia akan bermakna dalam kes-kes akan datang.
Walau apa pun, pendekatan menggunakan hukuman berat sebagai pencegahan sentiasa merupakan satu perjudian. Kesan sebenarnya hanya mungkin kelihatan selepas satu tempoh masa, dan itu menimbulkan soalan yang sukar dijawab: berapa banyak lagi nyawa perlu terkorban sebelum kita boleh menyatakan dengan yakin bahawa pendekatan sedemikian berkesan?
Melalui pengalaman mengendalikan kes hukuman mati, kami yakin akan satu perkara: bukti menunjukkan bahawa hukuman mati tidaklah lebih berkesan dalam menghalang jenayah berat berbanding hukuman lain. Ia malam tidak pun menakutkan orang daripada melakukan jenayah.
Hukuman mati adalah cara mudah bagi kerajaan supaya kelihatan tegas. Ia memberikan imej 'tegas terhadap jenayah' supaya mereka boleh mengelak daripada melakukan kerja sukar, iaitu membaiki masalah sebenar yang lebih mendalam dalam masyarakat yang menjadi punca utama berlakunya jenayah.
Bergantung kepada keganasan yang dibenarkan oleh undang-undang (seperti hukuman mati) hanyalah memberikan gambaran palsu bahawa keadilan ditegakkan dan ketenteraman awam telah dipulihkan.
Kita terhutang kepada keluarga Amirul dan orang lain yang mungkin berada dalam kedudukan malang yang sama untuk bersikap jujur tentang apa yang boleh dan tidak boleh dicapai oleh pendekatan ini.
Perkukuh langkah pencegahan dan sistem pampasan
Jika kita serius untuk memberikan keadilan kepada keluarga Amirul dan mengelakkan keluarga lain daripada melalui perkara sama, fokus kita mesti lebih besar daripada sekadar menggantung seseorang. Pencegahan sebenar memerlukan komitmen untuk menangani keadaan yang membolehkan tragedi ini berlaku.
Kita mesti mengutamakan penguatkuasaan undang-undang trafik sedia ada secara konsisten dan kelihatan bagi menghalang tingkah laku melulu sebelum ia melarat menjadi kematian. Kita mesti melabur dalam infrastruktur awam yang lebih selamat dan mudah diakses, memastikan memandu bukan satu-satunya pilihan bagi mereka yang berada bawah pengaruh alkohol.
Masyarakat mesti mula melihat penggunaan bahan dan ketagihan bukan sekadar kegagalan moral atau tindakan jenayah, tetapi sebagai krisis kesihatan awam yang menuntut dasar berteraskan pengurangan kemudaratan, perkhidmatan kesihatan mental yang mudah diakses dan rangkaian keselamatan sosial yang mampan.

Tiada satu pun daripada reformasi sistemik ini memberikan kepuasan segera atau emosi seperti gesaan untuk hukuman mati. Namun, ia mewakili satu-satunya persekitaran yang pencegahan sebenar benar-benar berlaku.
Sementara itu, balu atau waris harta peninggalan Amirul telah menyatakan niat untuk menuntut pampasan kewangan di mahkamah sivil. Sepatutnya tidaklah sesukar ini bagi sesebuah keluarga untuk mendapatkan keadilan yang sewajarnya bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan.
Di sinilah pendekatan yang lebih tersusun terhadap pampasan mangsa berhak mendapat perhatian serius, kerana beban mencari ganti rugi tidak seharusnya terus diletakkan di bahu keluarga yang sedang berduka.
Seorang lelaki telah meninggal dunia dalam cara yang amat tragis, meninggalkan keluarga yang pilu. Cara yang paling terhormat dan serius untuk menghormati nyawa Amirul adalah dengan menolak jawapan mudah dan penyelesaian ringkas.
Keadilan tidak boleh berakhir dengan perbincangan tentang menghukum pesalah; ia mesti menuntut agar kita berhadapan dengan realiti tingkah laku manusia dan secara aktif meruntuhkan keadaan masyarakat yang membolehkan tragedi ini berlaku.
MICHELLE LIU ialah peguam bela jenayah yang berpangkalan di Selangor dan felo di sebuah organisasi antarabangsa tidak berasaskan keuntungan yang memfokuskan kepada reformasi keadilan jenayah.
THAM JIA VERN adalah ketua penyelidik di Hayat, sebuah kumpulan di Kuala Lumpur. Mereka berusaha untuk mengubah sistem keadilan supaya ia lebih fokus kepada membantu orang ramai pulih dan membetulkan kesilapan mereka. Mereka mahu mengurangkan bilangan banduan di penjara, mengubah undang-undang dadah, dan menghentikan sepenuhnya penggunaan hukuman mati.
Tulisan ini diterjemah daripada versi asal dalam bahasa Inggeris dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
