Memberi bayangan bahawa tempoh masih panjang sebelum Dewan Rakyat bersidang sekali lagi, PAS hari ini berkata, nama ketua pembangkang belum diputuskan setakat ini.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata buat masa ini parti itu – yang kini menguasai sebahagian besar jawatan penting dalam PN – perlu memberi perhatian kepada beberapa isu lain.
Sebelum diputuskan juga, kata Abdul Hadi, PAS perlu mendengar semua pandangan parti komponen dan ia tidak terhad kepada pertimbangan mereka semata-mata.
Turut diambil kira, kata Ahli Parlimen Marang itu lagi, pendapat pembangkang di Sabah dan Sarawak.
“Lantikan ketua pembangkang ini masih panjang tempohnya.
“Parlimen (bersidang semula) Jun akan datang. Panjang lagi dan kita (PAS) pun nak selesaikan urusan parti dan urusan PN dulu.
“Dan dalam masalah ketua pembangkang itu akan dibincangkan oleh semua pihak kerana ia melibatkan ahli parlimen semua, sebab pembangkang ini bukan PAS saja,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 yang berlangsung di pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus, hari ini.
Sebab itu, tambah Abdul Hadi, PAS memerlukan lebih banyak masa untuk berbincang sebelum membuat sebarang keputusan.
Penyandang tugas ketua pembangkang di Dewan Rakyat kini disandang Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin sejak Dis 2022 iaitu selepas PH dan BN menjalin kerjasama sekali gus membentuk kerajaan pusat.
Tak hormat negeri PN
Hamzah ketika itu menjadi Setiausaha Agung Bersatu dan PN sebelum dipilih sebagai Timbalan Presiden Bersatu awal Okt 2024. Bagaimanapun krisis dalaman Bersatu menyaksikan Hamzah dipecat serta-merta oleh partinya 13 Feb lalu.
Ia menjadikan bekas menteri itu kini sebagai ahli parlimen tanpa parti.
PAS pula sudah menyatakan keinginan mereka untuk mengisi jawatan ketua pembangkang.
Ketua Whip PN yang juga Setiausaha Agung PAS dan PN, Takiyuddin Hassan, memaklumkan kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang masih kekal setakat ini, dengan tempatnya juga tidak berubah.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, bagaimanapun mendesak PAS segera menamakan calon mewakili parti itu untuk menggantikan Hamzah bagi mengelak daripada menjejaskan imej PN.
Ketika ditanya sama ada calon ketua pembangkang itu adalah Takiyuddin atau salah seorang Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, Abdul Hadi tidak menawarkan sebarang petunjuk.

Sebaliknya ahli politik berusia 78 tahun itu menegaskan pengumuman nama ketua pembangkang akan dibuat apabila tiba masanya.
Katanya, persidangan Dewan Rakyat akan datang ini bakal memperlihatkan ketua pembangkang baru selepas perkara terbabit akan dimaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Abdul Hadi turut membalas dakwaan bekas menteri Umno, Khairy Jamaluddin, yang menganggap pembangkang hari ini merupakan “yang paling tidak berguna” dalam menangani isu negara.
Pada pandangan Abdul Hadi, pihak yang lebih tidak berguna ketika ini ialah kerajaan kerana gagal menangani isu semasa termasuk, dakwanya, konsep federalisme yang tidak dihormati membabitkan di negeri yang ditadbir PN.

“Kita ada konsep federalisme yang mesti dihormati di negeri-negeri yang dimenangi oleh parti-parti pembangkang (PN).
“Ini tidak, parti pembangkang dipinggirkan dan itu bukan konsep federalisme. Tak ikut perlembagaan dan banyak lagilah, termasuk masalah yang dihadapi sekarang ini... Masalah tenaga ekoran perang Iran sekarang ini,” katanya.
Untuk rekod pada 25 Mac lalu, Khairy berkata pembangkang hari ini “paling tidak berguna” berdasarkan sorotan beberapa isu tempatan dan luar negara yang menurutnya seharusnya diketengahkan mereka.
Selain mengetengahkan krisis tenaga global yang disebabkan oleh konflik berterusan di Asia Barat, Khairy juga merujuk kepada dakwaan dibuat oleh ahli perniagaan, Victor Chin, mengenai ahli parlimen PKR yang dikatakan menerima RM9.5 juta terkait skandal mafia korporat.
Khairy berhujah bahawa walaupun terdapat "pentas" yang disediakan untuk pembangkang "bersinar" dalam memastikan langkah semak dan imbang yang betul di tengah-tengah krisis sedemikian, mereka "terlalu bodoh dan tidak cekap" untuk memanfaatkan peluang itu.
Menurut Abdul Hadi masalah tenaga dan inflasi juga berpunca daripada kurangnya kerjasama, termasuk isu berkaitan sumber minyak tempatan dan hubungan ekonomi dengan negara jiran seperti Indonesia.
“Kerajaan perlu terima pandangan semua pihak. Kita cadangkan sidang khas di parlimen supaya bincang sama-sama, kerana apa yang berlaku sekarang ini bukan hanya dirasai pembangkang sahaja, semua rakyat terkesan tanpa mengira parti politik,” katanya.
Dia turut menegaskan bahawa perbezaan politik perlu diketepikan dalam menangani isu semasa.
“Kerajaan tidak boleh memikul semua tanggungjawab sendiri. Semua pihak perlu dilibatkan,” tambahnya.
