Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bukan sekadar saranan Ahmad Maslan, dah lama kami naik basikal'

Cadangan berbasikal ke tempat kerja oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan warga maya.

Namun, di sebalik polemik itu, wujud anggota masyarakat yang sudah lama mempraktikkan gaya hidup tersebut — bukan lagi saranan tetapi realiti harian bahawa basikal menjadi pengangkutan utama ke tempat kerja.

Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, Muhammad Shahrazif Tajul memberitahu Malaysiakini dia sudah lima tahun berulang-alik menggunakan basikal.

“Sebenarnya, (dulu) rumah saya dekat Ampang… dari Ampang ke sini dah memang sesak. Macam jenis saya, saya tak boleh hadap benda tu,” katanya.

Kini menetap di Bandar Nusa Rhu, dia hanya perlu mengayuh kira-kira 800 meter ke tempat kerja. Pada awalnya, keluarga bimbang dengan keputusannya, namun kebimbangan itu hilang selepas ia menjadi rutin.

Keputusan tersebut bukan sahaja mengurangkan tekanan trafik, malah menjimatkan kos harian.

“Saya bawa basikal itu hari-hari dan sepanjang lima tahun, kos penyelenggaraan kurang dari RM100. Harga basikal itu pula hanya RM250 saja,” katanya.

Menurutnya, penggunaan basikal membolehkan penjimatan sehingga 80 peratus berbanding memiliki kenderaan, selain membantu mengekalkan kecergasan tanpa keletihan melampau.

Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, Muhammad Shahrazif Tajul.

Sebelum ini, Ahmad Maslan menjelaskan cadangan itu merujuk kepada perjalanan jarak dekat di kawasan bandar, bukan perjalanan jauh antara bandar.

“Kenapa ketawa? Teringat cadangan saya ‘Basikal adalah kaedah yang sihat untuk ke tempat yang dekat,” tulisnya di akaun Facebook.

Ahli parlimen Pontian itu juga berkata penggunaan basikal lebih sesuai dalam lingkungan bandar seperti Pontian atau Putrajaya, dan bukan untuk perjalanan jauh seperti ke Johor Bahru atau Kuala Lumpur.

Malah, menurutnya, isu berbasikal hanya satu daripada tujuh inisiatif yang dicadangkan.

Dari luka peribadi

Bagi seorang pemilik kedai kopi di Kuantan, Luqman Nasaruddin, perjalanannya berbasikal bermula daripada pengalaman peribadi yang sukar sebelum menjadi rutin harian.

“Sejurus sahaja orang ramai dah mula berhenti main basikal sebab sudah tidak PKP, waktu itulah saya beli basikal pertama saya,” katanya kepada Malaysiakini.

Pemilik kedai kopi di Kuantan, Luqman Nasaruddin.

Pada awalnya sekadar aktiviti hujung minggu namun satu episod peribadi mengubah segalanya.

“Masih naik kenderaan bermotor untuk ke mana-mana waktu itu… Sehingga ada satu peristiwa yang boleh dikatakan sedih melanda hidup saya. Bahasa mudahnya, masalah percintaan,” katanya.

“Tiga bulan juga saya ambil masa dengan berbasikal hampir setiap hari untuk benar-benar pulih dari masalah yang menghantui hidup saya.”

“Ketika itu, hidup saya pagi petang siang malam adalah tentang basikal sahaja,” jujurnya.

Gambar fail, PM Anwar Ibrahim riadah berbasikal.

Kini, dia tidak lagi memiliki kenderaan bermotor dan berbasikal sepenuhnya, termasuk perjalanan ulang-alik sejauh 20 kilometer sehari.

“Tiada lagi motosikal dan kereta dalam hari-hari saya kecuali naik dengan kawan kalau tak sihat, cuaca buruk dan lain-lain.”

Walaupun pernah mengalami kemalangan, Luqman berkata semangatnya tidak luntur.

“Paling teruk kecederaan saya adalah patah jari kelingking tangan kanan. Namun, tak sikit pun patah semangat ke apa, bagi saya itu normal,” katanya.

Infrastruktur masih jadi penghalang

Pun begitu, keadaan di lapangan menunjukkan cabaran besar masih wujud, terutama dari segi infrastruktur dan kemudahan.

Penyelaras Sinar Project, Mohd Khairil yang telah berbasikal lebih 20 tahun, menyifatkan kekurangan kemudahan sebagai halangan utama.

“Sejak mula kerja 20 tahun yang lalu, saya pergi kerja dan urusan harian dengan jalan kaki, basikal dan pengangkutan awam,” katanya.

Penyelaras Sinar Project, Mohd Khairil.

Menurutnya, basikal bukan sekadar alternatif ke tempat kerja, malah boleh digunakan untuk perjalanan pendek atau digabungkan dengan pengangkutan awam.

“Tidak ada infrastruktur yang selamat untuk pejalan kaki atau berbasikal.

“Jika tidak rasa selamat untuk berjalan kaki atau berbasikal dengan kanak-kanak, maknanya tidak cukup selamat untuk orang ramai,” katanya.

Selain itu, Khairil berkata kekurangan parkir basikal yang praktikal di kawasan komersial, stesen pengangkutan awam dan institusi turut menjadi isu.

“Lagi satu halangan adalah tidak ada kemudahan parkir basikal di kawasan komersial, stesen pengangkutan awam, universiti dan sekolah,” jelasnya.

Khairil juga mendedahkan pengalaman diskriminasi sosial yang masih wujud terhadap penunggang basikal.

“Mereka akan halau, tiup wisel kalau tiba naik basikal. Seolah-olah orang yang naik basikal ke tempat kerja adalah golongan yang dikeji, yang perlu dihalau dari pandangan orang awam,” ujarnya.

Malah, dia mempersoalkan sejauh mana cadangan tersebut dicontohi oleh pemimpin sendiri.

“Saya tak tahu seorang pun wakil rakyat yang berbasikal atau menggunakan pengangkutan awam untuk pergi kerja,” dakwanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS