Seorang lelaki dari India yang dilahirkan dengan kondisi dwarfism (kerdil) membuktikan kecacatan fizikal yang dihadapinya bukanlah penghalang untuk mencapai cita-cita apabila kini berkhidmat sebagai seorang pegawai perubatan.
Ganesh Baraiya, 25, yang hanya berketinggian kira-kira tiga kaki (sekitar 91.44 sentimeter) dan seberat 20 kilogram, berkongsi perjalanan hidupnya yang sarat dengan cabaran sejak kecil menerusi sebuah video dokumentari yang dimuat naik oleh BBC News India di akaun YouTube mereka.

Menurutnya, ketika masih di sekolah rendah, bapanya pernah ditawarkan 500,000 rupee (sekitar RM28,000) dari sebuah kumpulan sarkas, namun bapanya menolak tawaran itu.
“Bapa saya memilih untuk memberi pendidikan kepada saya. Itulah yang menjadi inspirasi terbesar dalam hidup saya,” katanya.
Namun di sebalik tekad itu, Ganesh berdepan pelbagai kesukaran untuk menimba ilmu, termasuklah perlu berjalan sejauh lima kilometer ke sekolah setiap hari.
Bapanya, Vitthal Baraiya, berkata anaknya sering keletihan dan sukar bergerak, sehingga dia terpaksa mendukung Ganesh ke sekolah sepanjang tempoh awal persekolahan.
“Dia mudah penat dan tidak mampu bergerak jauh di sekolah. Justeru, saya membantunya dengan memikulnya di bahu supaya dia boleh terus belajar hingga tamat darjah lima,” katanya.
Tambah Vitthal, Ganesh juga selalu menjadi mangsa buli di sekolah kerana kekerdilannya.
Impian hampir terkubur
Selepas menamatkan pengajian gred 12 (pra-universiti) dalam aliran sains tulen, Ganesh berjaya lulus dalam ujian kemasukan perubatan dan memohon untuk mengikuti program Bachelor of Medicine, Bachelor of Surgery (MBBS).
Namun, permohonannya ditolak oleh Majlis Perubatan India yang berpendapat kekerdilannya mungkin menjejaskan keupayaan dalam menangani situasi kecemasan.

“Ketika itu, saya sangat kecewa. Saya tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa hadapan saya,” katanya.
Usaha guru-gurunya, Dalpatbhai dan Rajwantbhai untuk mencabar keputusan itu di Mahkamah Tinggi Gujarat turut menemui jalan buntu.
“Saya rasa seperti impian saya menjadi seorang doktor tidak akan tercapai,” tambahnya.
Namun, titik perubahan dalam hidup Ganesh berlaku apabila kesnya dibawa ke Mahkamah Agung India iaitu satu badan kehakiman tertinggi dan mahkamah rayuan yang terakhir di bawah Perlembagaan India.
Pada 22 Oktober 2018, mahkamah memutuskan bahawa kecacatan fizikal tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang seseorang daripada menyambung pengajian perubatan.
Keputusan itu telah membuka laluan kepada Ganesh untuk meneruskan pengajian dan akhirnya menamatkan pengajian sebagai doktor.
Teruskan walau gagal
Kini Ganesh telah menggapai impiannya yang dulu dilihat sukar direalisasikan apabila dia secara rasminya telah berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Bhavnagar Civil Hospital, hospital yang sama tempat dia menjalani latihan.
Menurutnya, pada awalnya pesakit berasa terkejut melihat keadaannya, namun lama-kelamaan mereka mula menerima dan memberi kerjasama.
Menariknya, dia berkata ketinggiannya menjadi kelebihan dalam berinteraksi dengan pesakit kanak-kanak.
“Kanak-kanak lebih mudah mesra dengan saya dan berkongsi masalah kecil yang mungkin tidak mereka ceritakan kepada doktor lain,” katanya.
Mengimbas perjalanan hidupnya, Ganesh menegaskan bahawa kegagalan adalah sebahagian daripada proses menuju kejayaan.
“Kehidupan tanpa cabaran bukanlah kehidupan sebenar. Ada kalanya saya berasa sudah gagal berulang kali, namun kita perlu terus melangkah ke hadapan untuk mencapai impian,” katanya.
Kisah Ganesh berjaya menjadi simbol ketabahan dan membuktikan bahawa halangan fizikal bukan penentu kepada had kemampuan seseorang.
Pada Julai 2025, badan kawal selia perubatan India memperkenalkan garis panduan sementara bagi kemasukan ke MBBS untuk sesi 2025-2026 yang menilai pelajar berdasarkan keupayaan (kompetensi), bukan semata-mata tahap kecacatan.
