Rafizi Ramli menyifatkan jika dia menyambut gesaan supaya keluar parti - tindakan itu akan lebih berbahaya kepada PKR.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, jika dia keluar parti dia tidak akan berdiam diri bahkan akan bebas dan lebih kuat bersuara.
“Premisnya (gesaan) kalau saya keluar parti, saya pun tak tahu kat mana dia pergi sekolah. Premisnya kalau saya keluar parti saya diam.
“Mana ada, saya (kalau) keluar parti lagilah kuat aku bersuara, lagilah bebas, lagilah berbahaya kepada PKR,” katanya kepada media pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pandan di Kuala Lumpur, hari ini.
Rafizi berkata demikian ketika diminta mengulas wujudnya gesaan supaya dia keluar parti kerana atas dakwaan dia kini menjadi liabiliti kepada PKR.
Mengulas lanjut bekas menteri ekonomi itu berkata, gesaan pemimpin bawahan PKR supaya dia keluar daripada parti itu memberi gambaran kelemahan dan akan membebankan Anwar Ibrahim sebagai presiden parti.
Dia mengambil contoh bagaimana Bersatu menangani krisis dalamannya yang menyaksikan Hamzah Zainudin akhirnya dipecat daripada jawatan timbalan presiden.
“Kalau Tan Sri Muhyiddin apabila dia rasa Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak lagi sehaluan ataupun dikira membawa musibah kepada bersatu, pecat terus.
“Jadi apabila Datuk Seri Anwar tidak bersuara, pimpinan kanan tak berani nak bersuara baik daripada timbalan presiden ke naib presiden, kemudian disusunnya yang di bawah-bawah ini untuk menekan kononnya kamu keluarlah daripada parti.
“Itu akan menyebabkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar itu nampak lemah dan nampak tidak berani,” tegas Rafizi.
Tambahnya, PKR bermasalah apabila cuba mengelak daripada isu-isu sebenar dan meletakkannya pada situasi serba-salah.

“Jadi masalah PKR ialah apabila cuba mengelak daripada isu-isu sebenar itu, pada asasnya PKR telah meletakkan dirinya dalam kedudukan serba salah. Ia sudah tersepit, apa sahaja yang mereka lakukan akan jadi masalah.
“Kalau mereka pecat saya pun satu masalah, kalau mereka kekalkan saya seperti sekarang pun satu masalah. Kalau saya sendiri membuat keputusan untuk keluar daripada parti pun tetap menjadi masalah bagi mereka, kerana sebenarnya masalah itu bukan saya,” jelasnya.
Rafizi berkata PKR tak boleh lupa kepada asal usul, manakala kelantangannya bukan soal kritikan terbuka atau tertutup.
Jelasnya, isu yang dibangkitkan perlu dijawab kerajaan kerana berkait dengan negara sebaliknya bukan soal parti antaranya seperti isu korporat mafia dan isu-isu integriti agensi-agensi penguatkuasaan.
“Soalan-soalan dan kritikan sama yang saya buat sejak 15, 16 tahun dahulu tak kisah siapa di dalam kerajaan. Dari zaman Najib (Razak), sama ada perdana menteri itu Tun Mahathir (Mohamad) ke, bagi saya kalau ada perkara yang perlu dijawab oleh mereka yang berkuasa tak kisah daripada parti mana pun.
“Itulah intipati PKR. Yang berbahaya jika PKR sekarang, bila sudah jadi kerajaan ia berubah. Jadi dia tak boleh, kalau dahulu isu yang bersabit dengan kepentingan rakyat apabila disuarakan dan memberi laba kepada PKR, PKR kata itu budaya yang baik.
“Tapi bila mereka dan PKR berada di dalam kerajaan, apabila isu itu dibawa dan tak dijawab, tiba-tiba timbul soal kena bawa dalam mesyuarat (saluran parti). Sebab rakyat Malaysia telah melalui proses itu semasa PKR dan saya membawa isu 1MDB ke, isu rasuah ke, itulah juga jawapannya,” katanya lagi.
Terdahulu Pengerusi PKR Johor Zaliha Mustafa yang mendakwa kenyataan dan kritikan terbuka dibuat Rafizi berpotensi memberi kesan kepada keharmonian dalaman dan kekuatan parti.
