Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kesan ekonomi: M'sia berhak tuntut pampasan dari kedutaan AS - Pemimpin PKR
Diterbitkan:  Apr 5, 2026 2:48 PM
Dikemaskini: 6:48 AM

Amerika Syarikat (AS) digesa membayar pampasan kepada negara yang terjejas termasuk Malaysia susulan konflik peperangan yang dicetuskan oleh kuasa besar itu di Asia Barat.

Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, tuntutan tersebut wajar dikemukakan melalui Kedutaan AS.

"Kesan peperangan dan sekatan ekonomi bukan sahaja menjejaskan negara yang terlibat secara langsung, malah mengheret negara membangun ke kancah ketidakstabilan ekonomi yang tidak sepatutnya ditanggung.

"Oleh itu, kita berhak menuntut melalui kedutaan AS agar mereka bertanggungjawab dan mempertimbangkan pampasan terhadap kesan ekonomi yang ditanggung negara lain," katanya dalam satu kenyataan.

Dia berkata demikian mengulas ketegangan antara AS-Israel dan Iran serta implikasi terhadap rakyat Malaysia, terutamanya dari segi kos sara hidup dan perdagangan.

Konflik antara Iran, AS dan Israel memberi kesan langsung kepada ekonomi global, khususnya melalui lonjakan harga minyak akibat gangguan bekalan di Asia Barat. Kenaikan ini meningkatkan kos bahan api, logistik dan tenaga di seluruh dunia.

Impak tersebut seterusnya mendorong tekanan inflasi apabila kos pengeluaran meningkat, sekali gus menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan naik. Dalam masa sama, ketidaktentuan geopolitik menjejaskan keyakinan pelabur dan memperlahankan pertumbuhan ekonomi global.

Selain itu, pasaran kewangan menjadi tidak stabil dengan turun naik ketara, manakala negara membangun yang bergantung kepada import tenaga paling terkesan.

Mengulas lanjut, Dr Sathia berkata kuasa besar seperti Amerika tidak seharusnya dibiarkan mencetuskan konflik peperangan tanpa memikirkan impak negatif terhadap negara-negara ketiga yang tidak berdosa.

Tambahnya, Malaysia perlu berani menyuarakan haknya di pentas diplomasi bagi memastikan kebajikan rakyat terus dilindungi daripada kesan geopolitik luar.

"Adalah wajar bagi negara-negara yang terjejas untuk menuntut agar pihak yang bertanggungjawab mempertimbangkan mekanisme pampasan atau bantuan ekonomi.

"Ini bagi mengimbangi kerugian yang dialami oleh rakyat di peringkat akar umbi yang paling terkesan dengan kenaikan harga barang dan ketidaktentuan pasaran," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS