Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Konflik Asia Barat: Malaysia perlu amal diplomasi bijak - PM

Malaysia perlu mengamalkan pendekatan diplomasi bijaksana dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik geopolitik yang menjejaskan rantaian bekalan dan harga komoditi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata walaupun pendirian negara tegas terhadap isu antarabangsa, hubungan perdagangan dan ekonomi dengan kuasa besar dunia perlu diurus secara strategik.

Anwar berkata pendekatan “art of diplomacy” membolehkan Malaysia mengekalkan hubungan baik dengan pelbagai negara termasuk di Asia Barat dan Amerika Syarikat (AS) tanpa menjejaskan kepentingan nasional.

“Walaupun kita keras dalam menghadapi kejahatan-kejahatan Amerika Syarikat, kita mesti bijak supaya jangan terlalu bermusuh dan kita masih boleh ada jaringan bekerjasama (perdagangan).

“Ini the art of diplomacy dan Kementerian Luar lebih handal dalam hal ini membantu kita….Jadi sementara kita tegas menyokong Iran, kita masih berdagang dengan AS…Setengah negara dia nak suruh perang saja, ada yang tanya (Malaysia).. ‘you are with us or against us’ (anda bersama kami atau sebaliknya)…No, it doesn't work that way (Tidak, ia bukan begitu) kita kena kebijaksana,” katanya.

Anwar berkata demikian pada majlis pelancaran Kolej Vokasional Pengerang di SMK Tanjung Pengelih, Pengerang di Kuala Lumpur.

Hadir sama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said serta Exco Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin.

Mengambil contoh krisis tenaga global termasuk isu bekalan minyak dunia, Perdana Menteri berkata hubungan diplomatik yang baik membantu Malaysia menangani isu secara strategik.

Hasil perbincangan dengan Presiden Iran, negara berjaya mendapatkan kebenaran laluan untuk tujuh kapal Malaysia yang terkandas di Selat Hormuz meneruskan perjalanan pulang.

“Kita menghubungi dan bercakap dengan pemimpin UAE (Emiriah Arab Bersatu), Arab Saudi, Pakistan, Turkiye dan AS (bincang isu semasa), tapi kita masih mampu berbincang panjang dengan Iran dan memohon kerjasama Presiden Iran melepaskan tujuh kapal kita dan dia setuju pada masa itu juga… ini tidak mudah.

“Saya maklumkan pada Presiden Iran, kapal kita masih tersangkut di Selat Hormuz dan ini sangat penting untuk kehidupan rakyat kita dan keperluan minyak dalam negara… sebaik selepas telefon itu beliau arahkan supaya diberi laluan kepada kapal-kapal Malaysia dan alhamdulillah ini bermakna hubungan (diplomasi) itu harus baik,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata konflik antarabangsa di Asia Barat telah memberi kesan besar kepada ekonomi global, termasuk peningkatan harga minyak, kos logistik dan gangguan rantaian bekalan.

Walaupun Malaysia tidak terlepas daripada tekanan tersebut, Anwar berkata keadaan negara masih lebih stabil berbanding beberapa negara lain yang terpaksa melaksanakan langkah drastik.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata Kerajaan MADANI komited memastikan negara mencari jalan keluar kepada masalah dengan langkah strategik termasuk cadangan daripada Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

“Harga minyak melambung, baja, bahan kimia, produk yang lain, lalu lintas perkapalan, kos, insurans perkapalan dan lain-lain semua meningkat. Kita syukur kerana negara kita tidak parah macam banyak negara lain… ada negara ASEAN yang sudah tutup 400 stesen minyak… ada yang harga minyak lebih daripada RM10,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS