Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dari gereja ke medan perang: Bagaimana Trump menghalalkan darah di Iran
Diterbitkan:  Apr 6, 2026 11:07 AM
Dikemaskini: 3:18 AM

Presiden Donald Trump dan pegawai Amerika Syarikat (AS) mengambarkan usaha menyelamat seorang juruterbang tentera udara AS di Iran pada Ahad sebagai "keajaiban Easter". Mereka membingkai operasi itu dalam istilah agama yang menggambarkan perang tersebut sebagai perjuangan yang adil dan diberkati Tuhan.

Sebelum ini, pentadbiran biasanya mengeluarkan ucapan Easter gaya poskad, namun pengkritik berkata mesej pegawai-pegawai kali ini mengaburkan garis antara kepercayaan dan dasar dengan menggunakan agama untuk mewajarkan perang serta membentuk tindakan ketenteraan.

"Penyelamatan itu satu Keajaiban Easter," kata Trump dalam rancangan "Meet the Press" terbitan NBC, manakala beberapa anggota kabinet menyusul dengan mesej mereka sendiri.

Reuters melaporkan dalam mesej berasingan yang menggunakan agama dengan cara lain, Trump mengancam di media sosial untuk menyerang loji kuasa dan jambatan, serta mendesak Tehran membuka Selat Hormuz, "kamu si bangsat yang gila" atau berdepan "hidup dalam neraka," dan mengakhiri hantaran itu dengan ungkapan "segala pujian bagi Allah."

Dalam satu mesej media sosial, Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent mengambil simbolisme Easter, iaitu hari Nabi Isa dibangkitkan daripada kematian.

"Keajaiban Easter dianggap sebagai kemenangan terbesar dalam sejarah," kata Bessent di X. "Oleh itu, adalah wajar pada hari paling suci bagi penganut Kristian ini, seorang pahlawan Amerika yang berani diselamatkan dari belakang garisan musuh dalam salah satu misi mencari dan menyelamat terbesar dalam sejarah ketenteraan."

Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth pula menulis "Tuhan itu baik" di akaun peribadi X miliknya pada Ahad, sambil berkongsi semula hantaran media sosial Trump mengenai kejayaan misi menyelamat di Iran itu.

Pete Hegseth

Axios, yang memetik temu bual dengan Trump daripada parti Republikan dan seorang pegawai pertahanan AS yang tidak dinamakan, melaporkan bahawa ungkapan itulah yang diucapkan oleh pegawai yang diselamatkan melalui radio selepas dia keluar dari pesawatnya.

Trump berkata semasa pelantikannya pada 2025 bahawa Tuhan membolehkan dia terselamat daripada cubaan pembunuhan semasa kempen pilihan raya 2024.

"Saya rasa ketika itu dan lebih percaya sekarang bahawa nyawa saya diselamatkan atas sebab tertentu. Saya diselamatkan oleh Tuhan untuk menjadikan Amerika hebat semula," katanya ketika itu.

Bagaimanapun, tindakan dia mencampuradukkan rujukan agama dengan ancaman tindakan ketenteraan mengundang kritikan pada Ahad.

Bekas Anggota Parlimen Republikan, Marjorie Taylor Greene, melalui hantaran di X, menuduh Trump mengkhianati nilai Kristian.

Katanya, sebagai Kristian dalam pentadbiran mereka sepatutnya "mengusahakan keamanan" dan bukannya "meluaskan perang" serta berhujah bahawa ajaran Nabi Isa menekankan saling bermaafan dan kasih sayang, termasuk terhadap musuh.

Majlis Hubungan Amerika-Islam (Cair) turut mengutuk bahasa yang digunakan Trump, dengan menyatakan dalam satu kenyataan bahawa tindakan dia "mempersendakan Islam dan ancamannya untuk menyerang infrastruktur awam" adalah melampau dan berbahaya.

Cair berkata penggunaan bersahaja ungkapan "Segala pujian bagi Allah" dalam konteks ancaman keganasan mencerminkan kesediaan untuk memperalatkan bahasa agama sambil menunjukkan penghinaan terhadap umat Islam dan kepercayaan mereka.

Bulan lalu, sekumpulan 30 anggota parlimen Demokrat meminta Inspektor Jeneral Jabatan Pertahanan Platte Moring untuk menyiasat laporan bahawa ada pihak dalam tentera AS cuba mewajarkan perang di Iran dengan menggunakan "ramalan akhir zaman dalam kitab injil."

"Pada masa berbilion dolar dan nyawa yang tidak terkira jumlahnya menjadi taruhan ketika pentadbiran Trump melancarkan perang pilihan di Iran, keperluan untuk mengekalkan pemisahan ketat antara gereja dan negara serta melindungi kebebasan beragama anggota tentera kita adalah sangat kritikal," menurut surat kepada inspektor jeneral itu.

"Kita mesti memastikan operasi ketenteraan dipandu oleh fakta dan undang-undang, bukan ramalan akhir zaman dan kepercayaan agama yang ekstrem," kata surat itu.

Iran, yang sistem politiknya berasaskan kepercayaan Islam Syiah bahawa kuasa agama berasal daripada garis imam keturunan Nabi Muhammad, secara rutin menggambarkan AS sebagai "Syaitan Besar" dan menggunakan bahasa agama dalam propaganda ketenteraan, dengan menyifatkan pejuang yang terkorban sebagai syahid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS