Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Norhazni Mat Sari berdepan pertuduhan rasuah baharu di Mahkamah Sesyen Shah Alam, pagi ini.
Kali ini, pertuduhan tersebut berkaitan dengan kerja-kerja pengubahsuaian rumahnya.
Mengikut kertas pertuduhan, Norhazni,59, dituduh atas kapasitinya sebagai penjawat awam, menerima RM9,110 daripada individu bernama Tang Siong Hee, yang merupakan pembayaran bagi kerja pengubahsuaian rumahnya pada 25 Mei 2022.
Pembayaran itu dibuat melalui pindahan dalam talian di Public Bank Cawangan Klang ke akaun Kah Yong Construction & Engineering Sdn Bhd.
Dia dituduh menerima dana tersebut tanpa balasan daripada Tang, pengarah E-Concern (Borneo) Sdn Bhd, yang kedudukannya mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.
E-Concern (Borneo) Sdn Bhd ialah syarikat perkhidmatan alam sekitar khusus yang menumpukan kepada pengurusan, pengangkutan, dan pelupusan sisa terjadual.
Dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dirangka mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, di hadapan hakim Nasir Nordin pagi ini.
Seksyen 165 memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin memohon kepada mahkamah supaya ikat jaminnya disekalikan dengan kes di Kuala Lumpur, yang dia dituduh pada Jumaat lalu kerana menerima RM21,000 daripada Tang untuk anak perempuannya.
Muaz juga memohon agar kedua-dua kes dibicarakan bersama, dan peguam Norhazni, Haresh Mahadevan tidak membantah perkara itu.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan Muaz untuk ikat jamin dan menetapkan 19 Mei untuk pengurusan kes.
Norhazni, bersama Ketua Pengarah JAS Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dan seorang pegawai kawalan alam sekitar, direman selama tujuh hari bermula 30 Januari bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes melibatkan pengurusan e-sisa.
Penahanan mereka susulan cadangan SPRM untuk menghentikan seketika semua import sisa plastik dan e-sisa selama enam bulan bagi menilai kesan sebenar import tersebut terhadap negara.
Hakim Mohd Nasir Nordin kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk kes dibicarakan bersama serta mengguna pakai jaminan serta syarat yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi menetapkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Norhazni pada Jumaat mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan menerima wang RM21,000 daripada sebuah syarikat pengurusan sisa berjadual, empat tahun lepas.
Dia didakwa menerima wang itu menerusi pindahan dalam talian ke akaun bank milik anaknya, yang diketahuinya pengarah syarikat terbabit mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank di Bukit Bintang, Kuala Lumpur antara 18 April 2022 hingga 19 Julai 2024 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
