Pemuda PH hari ini tampil menyanggah kenyaaan pemimpin Bersatu mengenai "kecenderunga pengundi" yang didakwa bersedia memilih kerajaan baru.
Ketua Pemuda PH, Woo Kah Leong, berpendapat ada sebab mengapa pembangkang dilihat sesetengah pihak sebagai gagal berfungsi seperti sepatutnya.
Kata Woo, antara lain faktor itu dipengaruhi oleh kegagalan mereka mengusulkan sebarang cadangan membina kepada kerajaan, selain tidak berikhtiar unuk membantu orang ramai.
Sebaliknya, tambah Adun Pasir Bedamar itu lagi, pembangkang tidak pernah berhenti mencari jalan untuk merampas kuasa.
Justeru, katanya, tidak wajar PN bercakap mengenai rancangan mereka mahu mengambil alih kerajaan negeri.
"Rasanya tidak ada rakyat yang mahu sekali lagi mengangkat bendera putih untuk minta bantuan di bawah pentadbiran PN," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ia merujuk kepada insiden sesetengah rakyat Malaysia yang menaikkan bendera putih sebagai tanda meminta bantuan pihak berkuasa ketika mereka berdepan kesulitan hidup semasa dunia dilanda pandemik Covid-19.
Timbalan Ketua Wanita Amanah Kelantan, Nik Faizah Nik Othman, dikatakan sebagai pemula - atau antara yang terawal - menggerakkan kempen itu yang berlaku pada 28 Jun 2021.
Katanya, setiap rumah mempunyai kain putih seperti lampin atau baju sekolah, menjadikan ia mudah digunakan oleh sesiapa yang terdesak mahukan bantuan.
Ketika itu negara ini ditadbir oleh kerajaan PN yang turut disertai BN serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak. Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, merupakan perdana menteri yang dilantik selepas berlakunya Langkah Sheraton.
Semalam Pengerusi Bersatu Perak, Ahmad Faizal Azumu, mendakwa sentimen rakyat ketika ini menunjukkan kecenderungan untuk melakukan perubahan kerajaan.
Dia yang juga bekas Menteri Besar Perak mendakwa kecenderungan itu bukan saja dapat dilihat di negeri terbabit malah di seluruh negara.
Woo berkata daripada sibuk memikirkan strategi merampas kuasa ketika seluruh dunia sedang menghadapi krisis sekarang, lebih baik PN mengendalikan parti sendiri sebelum Dewan Undangan Negeri Perak bersidang.
"Daripada Bersatu kepada 'berpecah' dan Perikatan Nasional pun sudah menjadi PAS Nasional," sindirnya.
