Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Asnida Daim mengaku tidak bersalah tuduhan gagal isytihar harta

Asnida Abdul Daim, anak kepada Allahyarham Daim Zainuddin, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini atas pertuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengisytiharkan harta pada tahun 2023.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan memberikan kenyataan bersumpah yang tidak mematuhi notis SPRM di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 13 Disember, tiga tahun lalu.

Kertas pertuduhan menyatakan bahawa dia telah diserahkan notis SPRM pada 14 November tahun yang sama.

Asnida mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan hakim Rosli Ahmad pagi ini. Jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000.

Aset yang didakwa tidak diisytiharkannya ialah pegangan saham dalam lima syarikat, iaitu Amiraz Sdn Bhd, Arida Farms Sdn Bhd, Kangkung Catering Sdn Bhd, Transgrade Sdn Bhd dan Gajah3 Foods Sdn Bhd.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat kemudian memohon mahkamah supaya menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 terhadap tertuduh serta pasport ditahan.

Peguam Asnida, Gurdial Singh Nijar, berkata jumlah tersebut tidak seimbang memandangkan denda maksimum bagi pertuduhan itu hanyalah RM100,000.

“Adalah sangat penting untuk difahami bahawa (pertuduhan ini) adalah pertuduhan teknikal. Tertuduh diminta mengemukakan senarai harta bagi membantu siasatan (SPRM) dan sebagai saksi untuk membantu siasatan.

“Dia telah mengisytiharkan 16 harta, dan bagi lima yang tidak diisytiharkan, dia telah menjelaskan kepada SPRM pada masa itu bahawa ia berkaitan dengan syarikat tidak aktif yang sedang dalam proses penutupan; syarikat-syarikat itu tidak beroperasi,”katanya.

Peguam bersama Gurdial, Nizamuddin Abdul Hamid, mengemukakan kronologi kejadian dengan menyatakan bahawa tertuduh sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM, termasuk ketika dipanggil untuk disoal siasat.

“Tiada isu bahawa tertuduh berisiko melarikan diri, kerana tiada arahan yang gagal dipatuhi oleh Asnida, dan saya memberi jaminan kepada mahkamah untuk mengemukakan kronologi ini jika perlu,”katanya.

Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM50,000, menahan pasport Asnida, dan menetapkan 21 Mei untuk pengurusan kes.

Minta bantuan orang ramai

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 27 Februari, memohon bantuan orang ramai untuk mengesan Asnida, Wira Dani Abdul Daim, Amir Zainuddin dan Amin Zainuddin bagi membantu siasatan.

Dalam satu kenyataan semalam, SPRM memaklumkan bahawa Asnida telah hadir dan memberi kerjasama, manakala Wira telah memaklumkan lebih awal mengenai ketidakhadirannya.

SPRM turut menyatakan bahawa Amir dan Amin gagal hadir untuk membantu siasatan.

Susulan itu, agensi tersebut memaklumkan akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk menyekat dan memantau pergerakan keluar masuk serta status pasport individu terbabit.

SPRM juga menyatakan bahawa notis merah akan dikeluarkan melalui Interpol.

SPRM berkata individu yang dinamakan itu akan berdepan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 48(c) Akta SPRM 2009 kerana gagal mematuhi Perintah Hadir Memberi Keterangan di bawah Seksyen 30(1)(a) akta yang sama.

Suruhanjaya itu juga menegaskan bahawa sebarang kegagalan mematuhi arahan sah agensi berkenaan tidak akan dikompromi, dan tindakan penguatkuasaan akan diambil tanpa pengecualian.

Pada tahun 2024, SPRM menyiasat Daim Zainuddin dan isterinya, Na’imah Abdul Khalid, yang antara lain membawa kepada penyitaan Ilham Tower, sebuah bangunan komersial bernilai tinggi di Kuala Lumpur.

Ahli politik veteran itu, yang dikenali sebagai sekutu rapat bekas perdana menteri Mahathir Mohamad, meninggal dunia pada November 2024.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS