Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LTSIP bukan 'litar' rempit: Exco Kelantan pertahan belia Serambi Mekah
Diterbitkan:  Apr 7, 2026 12:05 PM
Dikemaskini: 4:41 AM

Kerajaan Kelantan menegaskan isu aktiviti rempit membabitkan segelintir anak muda di kawasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), yang tular di media sosial baru-baru ini, tidak wajar digeneralisasikan sehingga mencerminkan keseluruhan belia negeri itu.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad, berkata majoriti anak muda di Kelantan aktif dalam bidang pendidikan, sukan, keusahawanan serta program pembangunan diri yang positif.

“Isu ini tidak boleh dilihat secara sempit sehingga mencerminkan keseluruhan anak muda Kelantan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menyuarakan rasa kecewa terhadap tindakan kumpulan ‘mat rempit’ yang menjadikan kawasan balai pelepasan terminal baharu LTSIP sebagai ‘litar lumba’.

Loke menyifatkan perbuatan itu sebagai memalukan, apatah lagi kerajaan Persekutuan membelanjakan hampir RM450 juta bagi menaik taraf lapangan terbang berkenaan untuk meningkatkan ketersambungan udara serta merancakkan pembangunan sosioekonomi dan pelancongan Kelantan.

Media sebelum ini melaporkan aktiviti itu dipercayai bermula sejak Ramadan lalu sebelum berlarutan hingga Aidilfitri, selepas rakaman kejadian tular di media sosial.

Mengulas lanjut, Zamakhshari berkata kerajaan negeri memandang serius kejadian itu dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang mengancam keselamatan awam.

“Sebarang aktiviti yang mengancam keselamatan awam tidak boleh dikompromi dan perlu ditangani secara tegas melalui tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Dia berkata, tindakan penguatkuasaan akan diperkukuh melalui kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Zamakhshari turut menegaskan isu itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, institusi pendidikan dan komuniti bagi memperkukuh nilai, disiplin dan tanggungjawab dalam kalangan anak muda.

“Isu ini harus ditangani secara bijaksana dan berfokus kepada penyelesaian jangka panjang, bukannya melalui pelabelan atau persepsi yang tidak membantu usaha membina generasi masa hadapan,” katanya.

Sementara itu Zamakhshari berkata kerajaan Kelantan memberi tumpuan kepada pembangunan belia sebagai langkah jangka panjang menangani gejala sosial, termasuk menerusi Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) dan Anak Muda Rakan Al-Quran (AMRAQ).

Selain itu, katanya, kerajaan negeri turut memperluas kemudahan alternatif untuk aktiviti belia, termasuk pewartaan tapak sukan motocross di Mukim Sokor, Tanah Merah.

“Kita juga menyokong penglibatan anak muda dalam aktiviti sihat seperti program permotoran dan akan terus menambah baik kemudahan riadah di seluruh negeri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS