Bekas perdana menteri Mahathir Mohamad menafikan dakwaan bahawa dia adalah punca kepada perpecahan orang Melayu, sebaliknya menegaskan tindakannya keluar daripada Umno adalah kerana parti itu telah menyeleweng daripada perjuangan asal.
Mahathir berkata, dia meninggalkan Umno untuk menubuhkan Bersatu bagi menggantikan parti itu yang menurutnya kini lebih mengutamakan wang berbanding perjuangan untuk bangsa, negara, dan agama.
"Memang benar saya keluar dari Umno kerana Umno sudah menyeleweng – berjuang untuk wang dan bukan untuk bangsa, negara dan agama.
"Saya keluar untuk tubuh parti ganti Umno. Tetapi ramai ahli Umno pilih untuk terus dengan Umno," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perpaduan lebih penting daripada jenama parti
Mengulas lanjut, Mahathir menjelaskan bahawa sekiranya majoriti ahli Umno menyertai Bersatu semasa ia ditubuhkan, perpecahan dalam kalangan orang Melayu tidak akan berlaku.
Dia turut membandingkan situasi semasa dengan kejayaan orang Melayu menentang British dahulu, yang menurutnya dicapai hasil perpaduan dalam satu organisasi dan bukannya sekadar bergantung kepada nama Umno semata-mata.
"Hari ini pun bukan parti Umno yang memberi kekuatan kepada orang Melayu. Yang memberi kekuatan ialah perpaduan.
"Sebab itu Payung Besar ditubuh supaya semua orang Melayu berada dalam satu organisasi. Dan mereka mungkin menang PRU," tambah Mahathir.
Mahathir sebelum ini memimpin Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan berjaya memenangi 13 kerusi dan membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH).
Dia juga dilantik menjadi perdana menteri buat kali kedua sebelum digulingkan oleh Muhyiddin Yassin dan partinya, Bersatu menerusi Langkah Sheraton.
