Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mendedahkan separuh daripada kes di bawah Akta Hasutan melibatkan kritikan terhadap pemimpin politik, dengan kerajaan dilihat membina naratif bahawa perbezaan pendapat merupakan perbuatan tidak beradab.
Menurut Koordinator Dokumentasi dan Pemantauan Suaram, Jernell Tan Laporan Hak Asasi Manusia Suaram 2025 menyorot penggunaan empat akta keselamatan utama, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang membenarkan polis menahan individu selama 28 hari tanpa dibawa ke mahkamah.
Tan berkata statistik kerajaan menunjukkan, sejak 2012, seramai 6,892 orang ditahan di bawah Sosma, dengan kira-kira 22 peratus dilepaskan tanpa sebarang pertuduhan, sekali gus menunjukkan potensi penyalahgunaan kuasa.
“Sejak diperkenalkan pada 2012, Sosma merekodkan 6,892 tangkapan, namun antara 20 hingga 28 peratus tahanan akhirnya dibebaskan tanpa dakwaan, menonjolkan kekurangan sistematik dalam siasatan terutama sepanjang tempoh tahanan 28 hari tanpa pengawasan mahkamah,” katanya berucap di majlis pelancarkan Laporan Hak Asasi Manusia Suaram 2025, di Kuala Lumpur, hari ini
Selain Sosma, Tan berkata terdapat tiga undang-undang pencegahan lain iaitu Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Pencegahan Dadah Berbahaya (DDA), yang membenarkan tahanan pentadbiran sehingga 60 hari, dengan perintah tahanan atau sekatan sehingga dua tahun.
Namun, tiada kes baru dilaporkan di bawah POCA pada 2025.
Kata Tan, laporan Suaram juga menekankan kegagalan institusi dalam memastikan akauntabiliti dan ketelusan, termasuk dalam kes kematian dalam tahanan.
Katanya, antara 2018 hingga 2025, kematian dalam tahanan polis meningkat sebanyak 54.5 peratus dalam tempoh dua tahun.
Menurutnya, bilangan kematian meningkat kepada 34 kes pada 2025 berbanding 22 pada 2023.
“Antara 2018 hingga 2025, kematian dalam tahanan polis meningkat, manakala di penjara terdapat sedikit penurunan,” katanya, sambil menambah bahawa angka kematian dalam tahanan imigresen tidak dapat didedahkan kerana kekurangan statistik.
Tan juga berkata ketelusan bagi kes kematian dalam tahanan, terutamanya di penjara, telah menunjukkan peningkatan berikutan jurang antara laporan media dan statistik kerajaan semakin mengecil.
Pemantauan Suaram merekodkan sembilan kematian dalam tahanan pada 2025, tiga di bawah jagaan polis, lima oleh Jabatan Penjara, dan satu oleh Jabatan Imigresen.
Pada 2023, sebanyak 11 kematian dalam tahanan dilaporkan di penjara, manakala 41 di bawah Jabatan Imigresen.
Kesalahan terhadap individu di bawah Sosma turut termasuk penahanan sewenang-wenangnya, keganasan dalam tahanan, dan kegagalan menyediakan rawatan perubatan.
Suaram turut melaporkan 107 kes tahanan dipukul di Penjara Taiping pada Januari 2025, menyebabkan kematian seorang tahanan berusia 62 tahun, Gan Chin Eng.
Sehingga Disember 2025, hanya seorang warden dituduh atas kesalahan menyebabkan kematian akibat kecuaian, dan tiada tindakan tatatertib diambil terhadap warden lain.
Laporan itu juga menyorot peningkatan tindakan terhadap kebebasan bersuara dan berhimpun.
Jumlah penahanan di bawah Akta Hasutan meningkat daripada 32 pada 2024 kepada 58 pada 2025, manakala penahanan bagi protes atau himpunan awam melonjak daripada 24 kepada 128.
Tan juga turut menekankan bahawa kerajaan sering menggunakan naratif “tiada adab” bagi menjustifikasi tindakan terhadap aktivis, pelajar, dan penganjur perhimpunan.
Isu lain yang disentuh termasuk pengembangan kuasa institusi Islam, diskriminasi terhadap golongan LGBTQ+, pengurusan migran dan pelarian secara berasaskan sekuriti, serta ketidaktelusan dalam proses pengurangan hukuman mati dan perlindungan terhadap kumpulan rentan seperti remaja dan individu dengan masalah kesihatan mental.
Tambahnya, laporan Suaram 2025 menegaskan bahawa perbezaan pendapat, kritikan terhadap pemerintah, dan ekspresi politik awam semakin dianggap sebagai ancaman kepada ketertiban, menandakan cabaran berterusan terhadap hak asasi manusia di Malaysia.
