Kos permulaan bagi pihak yang ingin membuka Madani Mart - kedai runcit harga rahmah - adalah sebanyak maksimum RM420,000 termasuk RM30,000 yuran pelesenan sekali bayar yang perlu dibayar kepada Yayasan Madani.
Yayasan Madani menegaskan bahawa model perniagaan Madani Mart adalah berdasarkan pelesenan dan kerjasama usahawan, dan bukannya sebagai pengendali runcit.
Komitmen lain bagi pengusaha Madani Mart ialah yuran pembaharuan pelesenan setiap tahun RM5,000 dan yuran perkhidmatan RM2,000 sebulan; (RM900 operasi + RM100 tanggungjawab sosial (CSR) serta RM1,000 sistem meliputi penyelenggaraan sistem, sokongan operasi, pemantauan prestasi serta penambahbaikan yang berterusan.)
Selain itu, dalam kenyataan media hari ini, Yayasan Madani menganggarkan jumlah RM420,000 itu juga merangkumi inventori awal sekitar RM150,000, kos pengubahsuaian lengkap termasuk peralatan sekitar RM220,000, yuran konsultan (sekali sahaja) merangkumi latihan awal dan latihan semasa secara berterusan, bimbingan, penyediaan CCTV, sistem titik jualan (POS), serta sokongan promosi dan pemasaran berterusan – sekitar RM20,000.
Yayasan Madani berkata anggaran nilai pelaburan sehingga maksimum RM420,000 itu tertakluk kepada lokasi dan skala premis.
Madani Mart menjadi tumpuan selepas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli membangkitkan kebimbangan kerana projek itu membabitkan kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, yang turut bertanggungjawab terhadap program Jualan Rahmah.
Rafizi juga menyorot bahawa pemegang Amanah Yayasan Madani adalah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh, dan dua pembantu perdana menteri Anwar Ibrahim, Farhan Fauzi dan Kamil Munim.
"Jualan Rahmah ini melibatkan peruntukan beratus-ratus juta ringgit setahun, pembekal-pembekal berebut-rebut untuk menjadi pembekal untuk Jualan Rahmah kerana bila dia jual kepada kerajaan, dia dapat harga biasa, mungkin harga yang lebih tinggi pun.
“Tapi bila dijual kepada orang ramai tu, setiap satu kilogram (misalnya) itu kemudian diberikan subsidi oleh kerajaan.
“Jadi bila Madani Mart ini diusahakan oleh timbalan menteri KPDN (Fuziah) yang bertanggungjawab dengan Jualan Rahmah, ada risiko besar kerana kerjasama strategik itu bermakna timbul risiko,” kata Rafizi.
Susulan itu, Yayasan Madani tampil menjelaskan bahawa skim pelesenan Madani Mart akan memerlukan pihak yang berminat membuka cawangan membayar yuran lesen dan royalti kepada yayasan itu.
Dalam kenyataan hari ini, Yayasan Madani turut menangani tanggapan Madani Mart sebagai Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) diperkenalkan pada 2011 di bawah pentadbiran Najib Razak.
“Model Madani Mart berbeza secara asas kerana tidak melibatkan pembiayaan modal permulaan (CAPEX) atau kos operasi (OPEX) oleh kerajaan.
“Sebaliknya, ia dipacu sepenuhnya melalui penyertaan usahawan berasaskan mekanisme pasaran dan pemilikan persendirian.
“Yayasan Madani bertindak sebagai pemudah cara ekosistem dan inkubator usahawan, dan bukan sebagai pengendali runcit,” katanya.
Dari segi tadbir urus pula, Yayasan Madani berkata pengoperasian dilaksanakan oleh pasukan pengurusan yang profesional, manakala Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Madani berfungsi memastikan hala tuju, integriti dan pematuhan organisasi sentiasa terpelihara.
“Ahli Lembaga bertindak sebagai pemegang amanah dan tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam operasi perniagaan Madani Mart.
“Yayasan Madani hanya memiliki hak terhadap penjenamaan hak cipta, konsep dan model perniagaan, manakala pemilikan outlet adalah sepenuhnya di tangan usahawan. Struktur ini memastikan tiada konflik kepentingan timbul,” katanya.
Ia juga berkata semua dana dan transaksi yayasan direkod, diaudit serta tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa, tanpa sebarang pengagihan keuntungan kepada individu pemegang amanah.
“Laporan kewangan Yayasan Madani bagi tahun 2024 telah selesai diaudit, manakala laporan kewangan tahun 2025 sedang dalam proses pengauditan.
“Fi perkhidmatan yang dibayar oleh usahawan digunakan untuk menyokong pembangunan ekosistem termasuk latihan, sistem operasi, akses kepada rantaian bekalan serta pemantauan prestasi, selaras dengan peranan Yayasan Madani sebagai inkubator,” katanya sambil mengulangi bahawa program itu tidak melibatkan dana kerajaan.
“Modal outlet ditanggung sepenuhnya oleh usahawan, manakala Yayasan Madani tidak menyalurkan modal atau memegang saham, sebaliknya berperanan sebagai pemudah cara dan inkubator keusahawanan,” katanya lagi.
