Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Iran berkeras tolak gencatan senjata saat ugutan Trump makin suntuk
Diterbitkan:  Apr 7, 2026 7:11 PM
Dikemaskini: 11:13 AM

Iran tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan bersetuju dengan tuntutan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump agar membuka Selat Hormuz menjelang penghujung Selasa, atau berdepan serangan besar-besaran terhadap infrastruktur awamnya.

Situasi ini dilihat sebagai lonjakan konflik paling buruk dalam peperangan setakat ini.

Sumber kanan Iran memberitahu Reuters bahawa Tehran menolak cadangan yang disampaikan melalui perantara untuk gencatan senjata sementara.

Rundingan mengenai perdamaian kekal hanya boleh bermula selepas AS dan Israel menghentikan serangan, memberi jaminan ia tidak akan berulang dan menawarkan pampasan bagi kerosakan yang dialami.

Sebarang penyelesaian masa hadapan mesti mengekalkan kawalan Iran ke atas selat tersebut, termasuk mengenakan bayaran kepada kapal yang melaluinya, kata sumber itu tanpa mahu dikenali.

Melepaskan "neraka" pada 4 pagi waktu Malaysia

Ketika tempoh tamat ugutan Trump untuk melepaskan "neraka" semakin hampir, pasaran global sebahagian besarnya kaku dan teragak-agak untuk membuat taruhan sama ada Trump akan meneruskan ugutannya atau membatalkannya seperti yang dilakukan sebelum ini.

Trump memberi tempoh kepada Iran sehingga jam 8 malam waktu Washington (4 pagi waktu Malaysia) untuk menamatkan sekatan terhadap minyak negara-negara Teluk. Dia berkata jika gagal, dia akan memusnahkan setiap jambatan dan stesen janakuasa di Iran dalam tempoh empat jam.

Iran menolak tuntutan itu dan mengugut untuk membalas dendam terhadap infrastruktur milik sekutu AS di negara-negara Teluk, yang bandar-bandar padang pasirnya akan menjadi mustahil untuk didiami tanpa bekalan elektrik atau air.

Dalam serangan terbaharu semalam, sebuah rumah ibadat Yahudi (sinagog) di Tehran musnah dalam apa yang digambarkan oleh Iran sebagai serangan udara Israel. Rakaman di media Iran menunjukkan teks bahasa Ibrani bertaburan di celah runtuhan sinagog Rafi-nia.

"Rejim Zionis tidak mempedulikan komuniti ini ketika cuti keagamaan Yahudi dan menyerang salah satu sinagog kuno dan suci kami," kata Homayoun Sameh, anggota parlimen yang mewakili komuniti Yahudi di Iran, seperti yang dipetik oleh media kerajaan.

"Bangunan sinagog musnah sepenuhnya dan naskhah Taurat kami tertimbus di bawah runtuhan."

Yahudi di Iran juga jadi sasaran

Tentera Israel tidak memberikan sebarang ulasan segera. Komuniti Yahudi purba Iran yang berjumlah ribuan orang merupakan antara yang terbesar di Asia Barat di luar Israel.

Tanpa menunggu tarikh akhir Trump berakhir, Israel mengancam infrastruktur awam Iran pada Selasa dengan memberi amaran kepada rakyat Iran melalui hantaran media sosial dalam bahasa Parsi supaya menjauhi landasan kereta api: "Kehadiran anda di dalam kereta api dan berhampiran landasan kereta api membahayakan nyawa anda."

Singkir ulama garis keras

Di Iran, penduduk masih berharap peningkatan ketegangan yang diancam itu dapat dielakkan.

"Saya harap ia hanyalah satu lagi gertakan oleh Trump," kata Shima, 37, dari bandar Isfahan kepada Reuters melalui telefon.

Seperti kebanyakan rakyat Iran, dia berkata dia mahu kerajaan ulama garis keras disingkirkan, "tetapi jika infrastruktur dimusnahkan dan rakyat tidak dapat membina masa depan negara, itu perkara lain."

Trump secara tiba-tiba membatalkan ugutan serupa sejak beberapa minggu lalu dengan alasan terdapat rundingan produktif dengan tokoh-tokoh yang tidak dikenali di Iran, walaupun Tehran menafikan sebarang rundingan substantif telah berlaku.

Kedua-dua negara setakat ini bertukar cadangan dengan Pakistan yang bertindak sebagai perantara utama, namun tiada tanda-tanda kompromi. Kedua-dua pihak mendakwa telah memenangi perang dan menuntut konsesi daripada musuh mereka untuk menamatkannya.

Duta Iran ke Pakistan berkata pada Selasa bahawa "usaha positif dan produktif" oleh Islamabad untuk menjadi pengantara bagi menamatkan perang sedang "menghampiri tahap kritikal dan sensitif", namun tidak memberikan butiran lanjut.

Cadangan yang diusahakan Pakistan akan memohon gencatan senjata sementara dan penarikan sekatan berkesan Iran ke atas selat tersebut, sambil menangguhkan penyelesaian damai yang lebih luas untuk rundingan lanjut, menurut sumber yang mengetahui rancangan itu.

Laluan Selat Hormuz

Namun, jawapan 10 perkara Iran seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Irna pada Isnin, menuntut penamatan perang secara kekal, penarikan sekatan dan janji pembinaan semula tapak Iran yang rosak akibat serangan Israel-AS.

Ia juga termasuk mekanisme baharu untuk mentadbir laluan melalui Selat Hormuz — yang sebelum ini merupakan laluan air antarabangsa yang dilalui satu perlima daripada bekalan minyak dan gas asli cecair dunia. Sejak AS dan Israel menyerang Iran pada 28 Februari, Iran menutup laluan itu kepada hampir semua kapal kecuali miliknya sendiri.

Trump mengenakan tarikh akhir terbaharunya ke atas Iran dalam mesej media sosial pada Ahad yang mengisytiharkan "Buka Selat itu, kamu semua yang gila, atau kamu akan hidup dalam Neraka – Lihat saja!", bahasa yang disifatkan oleh pegawai Iran sebagai terdesak atau gila.

Pada sidang media pada Isnin, Trump menegaskan lagi pendiriannya: "Seluruh negara itu boleh dihapuskan dalam satu malam, dan malam itu mungkin malam esok," katanya.

"Setiap jambatan di Iran akan hancur... Setiap stesen janakuasa di Iran akan terhenti, terbakar, meletup, dan tidak akan digunakan lagi."

Halusinasi Trump

Keadaan itu menyebabkan pelabur terumbang-ambing antara pertaruhan pada penyelesaian cepat, atau peningkatan ketegangan yang boleh memanjangkan gangguan bekalan tenaga yang belum pernah berlaku sebelum ini dan menjejaskan ekonomi global.

"Kita kembali kepada jam detik yang ditetapkan oleh Trump dan tiada cara untuk meramal dengan yakin apa yang akan berlaku," kata Kyle Rodda, penganalisis pasaran kanan di Capital.com.

"Pedagang yang lebih berani mungkin membuat taruhan. Yang lain akan cuba melindungi risiko atau tidak masuk campur langsung. Tetapi tidak banyak yang boleh dilakukan oleh peserta pasaran selain menunggu dan melihat."

Utusan Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata ugutan Trump adalah "hasutan langsung kepada keganasan dan memberikan bukti jelas tentang niat untuk melakukan jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa".

Komando tertinggi tenteranya pula berkata Trump sedang "berhalusinasi".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS