Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dari pendidik Karam Singh jadi wartawan melekat di hati rakyat

Dalam landskap kewartawanan negara, nama Karam Singh Walia berada dalam kelas tersendiri, khususnya terkait dengan laporan isu alam sekitar. Kemunculannya di kaca TV cepat menangkap perhatian penonton melalui penyampaian yang tegas, berfakta dan diiringi mesej tersirat.

Namun, apa yang lebih istimewa dan membezakan Karam Singh dengan wartawan penyiaran lain ialah pendekatan uniknya - dia sentiasa menyelitkan kata-kata menarik berupa bidalan atau peribahasa dalam setiap laporan.

Melalui pendekatan itu, bukan saja Karam Singh, 67, yang menjadi perhatian malah stesen penyiaran terbabit - TV3 - turut mengharum namanya.

Karam Singh bertugas sebagai wartawan penyiaran di TV3 sejak 1995 dan mencurahkan khidmat bagi hampir 20 tahun. Dia bersara pada 2014.

Walaupun dilahirkan dalam keluarga Sikh, anak Teluk Intan, Perak itu terbukti menguasai bahasa Melayu dengan begitu baik sekali.

Dikatakan dia mempunyai senaskhah buku yang menghimpunkan lebih 4,000 peribahasa Melayu dan bahan itulah yang sering dibawanya bersama untuk dijadikan bahan rujukan.

Kefasihan Karam Singh menuturkan kata-kata yang menikam itu memang mengagumkan banyak pihak. Namun dipercayai di sebalik pelbagai bidalan dan peribahasa lama yang digunakan, sesetengahnya diolah sedikit sebanyak untuk disesuaikan dengan isu yang dibawa.

Ingatan teliti buat keputusan

Menurut adik mendiang, Jasbant Singh, meskipun Karam Singh tidak pernah menerima pendidikan khusus dalam kemahiran tersebut, abangnya itu berjaya mencipta acuan tersendiri melalui kesantunan berbahasa.

Antara ungkapan yang pernah disebut Karam Singh ialah, “Ibarat barang yang dikata, itulah yang dikota” yang menekankan kepentingan menepati janji.

Ungkapan “Ibarat perahu sudah di air, biar nakhoda tentukan kemudinya” pula membawa maksud kepimpinan perlu diberi kepercayaan untuk bertindak.

Dalam liputan berkaitan isu struktur haram milik tiga restoran di Bukit Bintang pada 2011, Karam Singh pernah mengungkapkan, “Ibarat kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanahnya.”

Kata-kata itu kemudian menjadi antara bidalan paling sering digunakannya dalam beberapa liputan lain.

Begitu juga dalam isu melibatkan nadir bumi di Kuantan, Pahang pada tahun yang sama. Wartawan itu mengingatkan penonton dengan bidalan “Ibarat sepuluh kali ukur, sekali kerat” sebagai seruan supaya setiap keputusan dibuat dengan teliti dan berhemah.

Selain itu, Karam Singh turut menggunakan peribahasa untuk menyindir sikap sambil lewa dan konflik kepentingan peribadi dalam kalangan pihak tertentu.

Antaranya termasuk “Ibarat musang nak bertopengkan bulu ayam demi agenda tersembunyi peribadi,” serta “Ibarat murah di mulut, mahal di timbangan,” yang menggambarkan jurang di antara kata-kata dan tindakan.

Bekas guru di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Jemaah itu bukan sahaja menyampaikan mesej melalui liputan berita, malah membentuk kesedaran awam terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

Karam Singh terkenal dengan satu peribahasa ketika terlibat di dalam segmen Aduan Rakyat iaitu “Terbakar kampung nampak asapnya, terbakar hati siapa yang tahu” yang menyentuh aspek emosi dan keprihatinan masyarakat terhadap isu sekeliling mereka.

Peribahasa itu memang segar dalam ingatan rakyat Malaysia.

Walaupun figura itu tidak lagi muncul di kaca televisyen lebih dari satu dekad, namun namanya tetap diingati ramai.

Kemunculannya kembali menarik perhatian selepas dia menyampaikan pesanan ketika duduk di sebelah Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, yang hadir menyampaikan sumbangan Tabung Kasih @Hawana bagi meringankan bebannya pada 2024.

“Dari bukit sampai ke gunung, marilah kita jangan termenung. Sampai satu hari nanti kita tenung, janjikanlah apa yang perlu dibuat sampai habis pahlawan direnung,” katanya.

Ungkapan ini mencerminkan harapannya agar masyarakat tidak hanya memerhati, tetapi bertindak demi masa depan yang lebih baik.

Sumbangan Karam Singh Walia dalam dunia kewartawanan negara akan terus hidup walaupun selepas pemergiannya. Bukan sahaja melalui rakaman liputan, tetapi juga melalui kata-katanya yang sentiasa kekal dalam ingatan rakyat Malaysia.

Karam Singh menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Klang, Selangor pada jam 3.30 pagi semalam.

Jenazah mendiang dibawa untuk menjalani proses kremasi di Krematorium Hindu Simpang Lima, Jalan Bukit Kubur, Klang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS