Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak ada sebab kerajaan naikkan harga minyak, kata Hadi
Diterbitkan:  Apr 8, 2026 10:45 AM
Dikemaskini: 2:50 AM

Ketika kebimbangan terhadap bekalan minyak serta harganya yang kekal tinggi, Abdul Hadi Awang berpendapat, tidak ada sebab mengapa keadaan itu berlaku di negara ini.

Presiden PAS itu berkata hal itu kerana Malaysia tidak termasuk sebagai salah sebuah negara yang disekat oleh Iran di Selat Hormuz.

Kata Abdul Hadi, Tehran menghargai Malaysia kerana ramai rakyat di negara ini yang berani enggan berpihak kepada kerajaan yang takut kepada Washington dan Israel.

Pada masa sama, tambah Abdul Hadi, Malaysia memiliki telaga minyak dan gas sendiri, juga masih banyak sumber lain yang boleh dimanfaatkan dengan kerjasama dalam kalangan dunia Islam, terutama negara jiran.

Dia bagaimanapun tidak memperincikan “sumber lain” yang dimaksudkan itu.

“Masalah sebenar yang berlaku (ialah kerana) banyaknya kebocoran dan salah laku dalam pengurusan,” katanya dalam kenyataan panjang lebar di media sosial pagi ini.

Abdul Hadi yang pernah dilantik sebagai duta khas perdana menteri ke Timur Tengah juga menegaskan, tidak ada sebab untuk kerajaan menaikkan harga minyak kerana sebelum ini ada pemimpin yang membuat kenyataan “berdegar-degar” mampu menyelesaikan isu berkenaan dalam tempoh kurang dari 24 jam.

“Tetapi hari ini (individu terbabit) bersikap penakut dan hilang dunianya dengan berperisaikan alasan kenaikan harga minyak bersama AS dan sekutunya, yang sebenarnya berpunca daripada sekatan yang dilakukan oleh Iran.

“Hakikatnya, Malaysia tidak termasuk dalam negara yang disekat kerana rakyat negara ini menyokong Palestin dan Republik Islam Iran yang diceroboh,” katanya lagi.

Bodohkan, lemahkan rakyat

Walaupun tidak menyebut atau memetik sebarang nama, dipercayai Abdul Hadi merujuk kenyataan berkenaan untuk menyindir Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang pernah menjanjikan penurunan harga minyak dalam siri jelajah politiknya.

Untuk konteks, Anwar berkata demikian semasa berkempen menjelang PRU ke-12 yang diadakan 18 tahun lalu.

Seperti negara lain, Malaysia turut berdepan dengan isu bekalan minyak ekoran krisis yang berlaku di Asia Barat ekoran peperangan di antara AS yang berpakat dengan Israel bagi menyerang Iran.

Sebagai tindak balas, Tehran menutup Selat Hormuz yang menjadi laluan penting kapal-kapal pembawa petroleum ke serata tempat di dunia.

Di sebalik peningkatan mendadak harga diesel, rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu masih membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter buat masa ini.

Semalam Wisma Putra mengesahkan satu daripada tujuh kapal komersial milik Malaysia yang terkandas di Selat Hormuz sudah dibenarkan oleh Iran untuk belayar menuju destinasi terakhirnya.

Menurut Abdul Hadi orang Melayu dan bumiputera di negara ini pernah ditipu oleh British melalui pelbagai langkah termasuk pengisytiharan darurat kononnya untuk menentang komunis.

Namun pada hakikatnya, tambah Ahli Parlimen Marang itu lagi, ia sebenarnya untuk mengekalkan kuasa mereka sebagai penjajah.

Satu lagi helah dikenakan ke atas Melayu dan bumiputera, kata Abdul Hadi – yang pernah mencetuskan kontroversi ekoran kunjungannya ke Tehran pada Dis 2016 – ialah menjadikan sesebuah negara bergantung kepada negara lain.

Cara itu, tambahnya lagi, dicapai dengan membodohkan rakyat serta melemahkan mereka.

“Tun Dr Mahathir Mohamad, negarawan negara, pernah memberikan amaran bahawa Melayu dan bumiputera jangan mudah lupa, termasuk lupa akan janji boleh menurunkan harga minyak dalam sekelip mata,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS