Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Trump setuju tangguh pengeboman Iran selama dua minggu
Diterbitkan:  Apr 8, 2026 11:21 AM
Dikemaskini: 3:34 AM

Presiden AS Donald Trump berkata pada Selasa bahawa dia bersetuju menangguhkan pengeboman ke atas Iran selama dua minggu, namun Tehran mesti membuka semula Selat Hormuz yang penting,.

Dalam satu kenyataan yang dimuatnaik White House di platform X pagi tadi, dia berkata gencatan senjata atau penangguhkan serangan itu tertakluk kepada persetujuan negara itu untuk membuka Selat Hormuz secara sepenuhnya, serta-merta dan selamat.

Pengumunan itu dibuat sejam sebelum tempoh akhir untuk memusnahkan negara itu tamat.

AFP melaporkan selepas lebih lima minggu serangan bertubi-tubi ke atas Iran oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel, Trump berkata dia menerima cadangan yang diusahakan oleh Pakistan untuk melanjutkan tempoh akhir tersebut.

Trump berkata dia telah bercakap dengan pemimpin Pakistan yang "meminta agar saya menahan kekuatan pemusnah yang sepatutnya dihantar malam ini ke Iran."

"Dan tertakluk kepada Republik Islam Iran bersetuju untuk membuka Selat Hormuz secara Lengkap, Segera dan Selamat, saya bersetuju untuk menangguhkan pengeboman dan serangan ke atas Iran bagi tempoh dua minggu," tulis Trump di platform Truth Social miliknya.

"Sebab berbuat demikian adalah kerana kita sudah pun mencapai dan melepasi semua objektif Ketenteraan, dan kini berada pada tahap yang sangat maju dalam Perjanjian muktamad mengenai Keamanan jangka panjang dengan Iran, serta Keamanan di Tasia Barat," tulis Trump.

Pelan 10 perkara

Dia berkata Iran telah menghantar pelan 10 perkara kepada Amerika Syarikat yang dianggapnya sebagai "boleh dilaksanakan" untuk rundingan.

Harga minyak jatuh mendadak serta-merta selepas kenyataan Trump tersebut. Kos minyak telah melonjak naik sejak perang bermula, memberikan tekanan politik yang hebat kepada Trump.

Tiada maklum balas segera daripada Iran atau Israel. Iran sebelum ini menyatakan ia bersedia untuk sebarang kemungkinan dan dengan berani enggan membuka semula Selat Hormuz, yang ditutupnya sebagai tindak balas terhadap serangan yang dilancarkan pada 28 Feb lalu.

Trump telah menetapkan tempoh akhir pada jam 8 malam waktu Washington (tengah malam GMT), atau 3.30 pagi di Teheran, selepas pelanjutan awal dalam ancaman untuk memusnahkan semua loji janakuasa dan jambatan di seluruh negara berpenduduk 90 juta orang itu – satu jenayah perang terhadap tapak yang sebahagian besarnya untuk kegunaan awam.

Trump pada awal Selasa mengeluarkan ancaman yang mengejutkan, malah mengikut piawaian provokasinya sendiri, sehingga membawa kepada amaran bahawa dia sedang menggalakkan pembunuhan beramai-ramai – yang berpotensi membawa kepada tuduhan jenayah perang terhadap anggota tentera AS yang mematuhinya.

"Seluruh tamadun akan mati malam ini, tidak akan kembali lagi. Saya tidak mahu itu berlaku, tetapi ia mungkin akan berlaku," tulis Trump sebelum ini.

Retorik tersebut merupakan peningkatan daripada hantaran yang penuh kata-kata kesat dua hari sebelumnya, pada Ahad lalu.

Pope Leo XIV berkata bahawa "ancaman terhadap seluruh rakyat Iran ini" adalah "benar-benar tidak boleh diterima."

Pengantaraan Pakistan

Pakistan, yang memainkan peranan penting sebagai orang tengah dalam konflik Asia Barat, berkata ia telah mencadangkan pelanjutan dua minggu bagi tempoh akhir Trump dan Iran juga harus membuka semula Selat Hormuz untuk tempoh yang sama sebagai "tanda niat baik."

"Usaha diplomatik untuk penyelesaian damai perang yang sedang berlaku di Asia Barat sedang berkembang secara stabil, kuat dan berkesan dengan potensi untuk membawa kepada keputusan yang substantif dalam masa terdekat," kata Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif.

AS dan Israel menyerang infrastruktur utama sebelum tempoh akhir Trump tamat, dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengesahkan serangan ke atas landasan kereta api dan jambatan yang menurutnya "digunakan oleh Pengawal Revolusi."

Tentera Israel juga menawarkan kenyataan berhubung kekesalannya yang jarang berlaku selepas mengakui merosakkan sebuah rumah ibadat Yahudi di Teheran, dengan mengatakan bahawa mereka menyasarkan seorang komander kanan Iran.

Iran, yang ditadbir oleh ulama Islam Syiah, adalah tempat tinggal kepada sekitar 100 rumah ibadat untuk minoriti Yahudi bersejarahnya.

Serangan infrastruktur yang dilaporkan oleh pihak berkuasa Iran pada Selasa termasuk serangan AS-Israel ke atas sebuah jambatan di luar bandar Qom dan satu lagi di jambatan kereta api di tengah Iran yang mengorbankan dua orang.

Kematian 'bukan jenaka'

Sementara itu, seorang pelajar universiti Metanat, yang rakan sekelasnya terbunuh dua minggu lalu dalam satu serangan, memberitahu AFP sebelum Trump menangguhkan pengeboman bahawa dia merasa "ketakutan dan begitu juga semua orang di negara ini."

Wanita berusia 27 tahun itu, yang enggan memberikan nama akhirnya, berkata berhubung kata dua Trump, "sesetengah orang menganggapnya sebagai jenaka", tetapi "kematian bukan satu jenaka."

Media kerajaan juga menerbitkan foto-foto yang mendakwa menunjukkan kumpulan rakyat Iran membentuk rantaian manusia untuk melindungi loji janakuasa.

Paparan semangat patriotik dalam menghadapi serangan itu berlaku beberapa bulan selepas kerajaan pimpinan ulama Iran bertindak keras dengan keganasan terhadap protes besar-besaran, dengan kumpulan hak asasi manusia melaporkan beribu-ribu kematian.

AS dan Israel berkata bahawa mereka menyerang Iran untuk melumpuhkan kapasiti ketenteraannya. Trump mendakwa Iran hampir membina bom atom, satu dakwaan yang tidak disokong oleh badan pemerhati nuklear PBB dan kebanyakan pemerhati.

Di Majlis Keselamatan PBB, Rusia dan China menggunakan kuasa veto bagi menolak resolusi mengenai pembukaan semula Selat Hormuz, teks yang telah pun diubah suai untuk mengeluarkan lampu hijau yang dicari oleh negara-negara Teluk bagi menggunakan kekerasan untuk melindungi laluan perkapalan utama itu.

Selain serangan infrastruktur, serangan dilaporkan berlaku di pulau Kharg, hab kritikal bagi industri minyak Iran, menurut agensi berita Mehr Iran, walaupun media AS mengatakan serangan tersebut adalah terhadap sasaran tentera.

Iran telah bertindak balas terhadap perang itu dengan menyerang negara-negara Arab Teluk yang menempatkan tentera AS. Israel pula telah melancarkan serangan besar ke dalam Lubnan, berikrar untuk mengawal tanah di mana Hizbullah yang dikaitkan dengan Iran telah melancarkan roket.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS