Malaysia mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata selama dua minggu yang dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, kata Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini.
Kementerian itu berkata perkembangan penting tersebut menjadi langkah signifikan ke arah meredakan ketegangan serta memulihkan keamanan dan kestabilan yang amat diperlukan di rantau Asia Barat.
Malaysia menggesa semua pihak supaya menghormati sepenuhnya dan melaksanakan semua terma gencatan senjata dengan niat baik bagi mengelakkan berulangnya permusuhan.
Ia turut menggesa semua pihak supaya mengelakkan sebarang tindakan provokatif atau langkah unilateral yang boleh menjejaskan kestabilan rapuh di rantau itu atau menggugat keselamatan ekonomi dan tenaga global.
“Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha diplomatik dan pengantaraan yang membawa kepada perjanjian ini.
“Perkembangan ini menunjukkan diplomasi kekal sebagai satu-satunya jalan berdaya maju untuk menyelesaikan konflik berpanjangan serta menjamin keselamatan serantau jangka panjang,” menurut kementerian itu.
Semua pihak berkaitan perlu memanfaatkan ruang peluang ini untuk meneruskan dialog ke arah penyelesaian yang berkekalan, menyeluruh dan aman terhadap perbezaan mereka, tambahnya.
“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa supaya menyokong usaha damai ini dan menyumbang ke arah penyelesaian yang adil serta berkekalan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat di rantau itu,” menurut kenyataan itu.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa mengumumkan penggantungan operasi ketenteraan terhadap Iran selama dua minggu susulan pengantaraan oleh Pakistan.
Sebagai tindak balas, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berkata Majlis Keselamatan Negara Tertinggi mengisytiharkan bahawa Tehran akan menghentikan operasi pertahanan sekiranya serangan terhadap negara itu dihentikan.
Menurut laporan, rundingan antara pihak terlibat dijangka berlangsung di Islamabad pada Jumaat ini.
— Bernama
