PAS berpendapat amalan mengganggu majlis seperti yang berlaku di hadapan pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki semalam tidak wajar dinormalisasikan, namun parti itu tetap berpendapat ada pengajaran yang perlu direnung oleh kerajaan.
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, berkata majlis rasmi yang dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM berkenaan bukan tempat yang wajar untuk pihak pengkritik menunjukkan bantahan.
“Namun, perlu juga dinyatakan bahawa itulah manifestasi kemarahan rakyat yang sedang meluap-luap terutama berkait isu integriti dan moral, khususnya badan yang sepatutnya menjadi pengawal kepada integriti iaitu SPRM.
“Insiden itu bukan sekadar aksi spontan, tetapi mencerminkan keresahan yang lebih mendalam dalam kalangan sebahagian rakyat terhadap isu yang masih belum terjawab dengan tuntas di mata awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menambah, kemarahan tersebut tidak boleh dilihat terpisah daripada pelbagai isu yang membelenggu SPRM, termasuk yang terkait dengan Azam sendiri.
“Lebih pelik, kerajaan dilihat masih berdolak-dalik tanpa sebarang tindakan segera walaupun Tan Sri Azam sendiri mengesahkan bahawa mafia korporat itu wujud,” katanya lagi.
Semalam ucapan Azam sempena program Wacana Ilmiah Perdana di Pusat Dagangan Dunia di tengah Kuala Lumpur terganggu ekoran kemunculan aktivis yang membawa sepanduk “Tangkap Azam Baki”.

Pemuda dengan baju berlogo 'Mandiri' itu dikatakan tiba-tiba bangun dan mengangkat sepanduk yang menulis kecaman kepada Azam.
Peserta dan wartawan yang berada dalam dewan itu pada mulanya menyangka kejadian itu adalah gimik yang dilakukan penganjur tetapi dikejutkan apabila mereka ditahan dan diarah keluar.
Azam – yang kontrak perkhidmatannya disambung sebanyak tiga kali – sekali lagi terpalit dengan kontroversi. Kali ini melalui pemilikan saham dalam dua syarikat senaraian awam.
Siasatan bebas, keberanian politik
Dia didakwa melanggar peraturan kakitangan awam yang meletakkan had tertentu dalam pemegangan saham sesebuah syarikat. Bagaimanapun Azam menafikan dia terlibat dalam salah laku.
Dia juga menegaskan pembelian tersebut dibuat melalui pasaran terbuka dan tiada konflik kepentingan.
Isu tersebut bagaimanapun mendorong kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk menyiasatnya. Setakat ini kerajaan memberitahu siasatan sedang dijalankan.
Menurut Ahmad Fadhli turut membimbangkan ialah pendedahan dibuat seorang ahli perniagaan, Victor Chin, yang membangkitkan persoalan serius terhadap integriti, termasuk menyentuh parti teras dalam kerajaan.
Sehingga kini, tambahnya, rakyat melihat isu besar berkenaan seolah-olah hanya dijawab dengan kenyataan, bukan tindakan tegas yang mampu mengembalikan keyakinan.
“Realitinya, tahap kepercayaan rakyat terhadap kerajaan pada hari ini berada dalam keadaan yang semakin rapuh. Rakyat melihat bagaimana isu-isu besar seperti integriti, salah guna kuasa dan dakwaan pengaruh korporat tidak ditangani dengan ketegasan yang sewajarnya.

“Dalam keadaan ini, sebarang insiden seperti gangguan di program rasmi menjadi simbol kepada rasa kecewa yang terkumpul, bukan sekadar terhadap individu, tetapi terhadap keseluruhan sistem pentadbiran negara,” katanya.
Tambah Ahmad Fadhli, kemarahan rakyat tidak muncul dalam vakum sebaliknya terbina daripada persepsi, pengalaman dan rasa ketidakpuasan hati yang berpanjangan.
Jika tidak ditangani dengan bijaksana, katanya, ia berpotensi merebak ke ruang-ruang lain yang lebih sukar dikawal.
Menurutnya, penyelesaian sebenar bukan sekadar mengawal simptom seperti gangguan fizikal di program awam, tetapi menangani akar permasalahan iaitu memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi.
Katanya, ketelusan yang menyeluruh, siasatan yang benar-benar bebas serta keberanian politik untuk bertindak tanpa kompromi adalah kunci untuk meredakan ketegangan tersebut.
“Tanpa langkah tersebut, insiden seperti ini (semalam) mungkin berulang dalam bentuk yang lebih besar dan lebih sukar dibendung,” katanya.
