Tahap kebahagiaan di Malaysia lebih tinggi daripada purata global, berdasarkan Indeks Kebahagiaan Ipsos 2026.
Menurut indeks yang dikeluarkan pada 19 Mac, negara ini mendapat mata 81 peratus berbanding 76 peratus pada 2025.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
“Ini bermaksud dasar Kerajaan Madani mensejahterakan rakyat kini mula membuahkan hasil.
“Kita akan terus mempertingkatkan payung Madani untuk melindungi rakyat daripada segala ketentuan, kacau-bilau dan huru-hara di peringkat global,” kata menteri DAP itu, seperti dilaporkan Bernama semalam.

Selain itu, dalam usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat, Nga turut berkongsi empat prinsip mudah dalam membina kehidupan yang lebih bahagia.
Antaranya, kata Nga, membudayakan amalan mensyukuri nikmat setiap hari dengan memberi fokus kepada apa yang dimiliki, memupuk rasa cukup serta menghargai perkara kecil dalam kehidupan.
“Kita juga perlu kekal positif dan menjauhkan diri daripada elemen negatif serta mengamalkan gaya hidup sihat melalui pemakanan seimbang, aktiviti fizikal dan rehat yang mencukupi,” katanya.
3 bandar di Johor, 2 di T’ganu antara 10 paling bahagia
Sementara itu, sebanyak 10 bandar menerima Anugerah Bandar Paling Bahagia 2026, yang didominasi bandar-bandar di Johor dan Terengganu.
Berikut pemenang anugerah itu:
Simpang Renggam, Johor
Kluang, Johor
Mersing, Johor
Kuala Terengganu, Terengganu
Marang, Terengganu
Permaisuri, Terengganu
Lipis, Pahang
Raub, Pahang
Dabong, Kelantan
Ranau, Sabah


Nga berkata pengukuran Tahap Kebahagiaan Bandar di Malaysia diintegrasikan dengan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
“Ia memastikan penilaian kebahagiaan bandar adalah lebih komprehensif dan seimbang iaitu pengukuran oleh DOSM mewakili gambaran kesejahteraan rakyat secara menyeluruh di peringkat nasional, negeri dan daerah.
“Pengukuran MURNInets pula melengkapkan analisis dengan mengambil kira pengalaman sebenar penduduk terhadap kualiti persekitaran dan perkhidmatan bandar,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Putrajaya semalam.
MURNInets adalah sistem untuk mengukur dan menilai kemampanan sesuatu kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui satu set petunjuk bandar yang telah ditetapkan.
