mk-logo
Berita
NGO saman pemilik bersama CelcomDigi, dakwa langgar hak asasi

Sebuah pertubuhan bukan keuntungan dari Sweden memulakan tindakan saman berkelompok terhadap Telenor ASA — pemegang saham bersama CelcomDigi Bhd — berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi manusia yang dikaitkan dengan operasi terdahulu syarikat telekomunikasi Norway itu di Myanmar.

Saman itu difailkan oleh NGO Justice and Accountability Initiative (JAI) di Mahkamah Daerah Asker dan Bærum di Norway hari ini, bagi menuntut ganti rugi bagi pihak pelanggan di Myanmar yang didakwa datanya dikongsi dengan pihak berkuasa tentera negara itu.

JAI diwakili firma guaman Norway Simonsen Vogt Wiig, dengan sokongan Centre for Research on Multinational Corporations (SOMO) serta Open Society Justice Initiative.

Pada Oktober tahun lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Telenor menerima notis tindakan undang-undang, dengan pihak penuntut menuduh syarikat itu berkongsi data peribadi orang awam Myanmar secara tidak sah dengan pihak tentera selepas rampasan kuasa 2021 yang menyaksikan kejatuhan kerajaan dipilih secara demokratik.

Pendedahan yang didakwa itu — termasuk nama, alamat, nombor pengenalan, lokasi terakhir diketahui dan log panggilan — dikatakan membawa kepada “penahanan sewenang-wenangnya, penyeksaan, dan sekurang-kurangnya satu hukuman mati” oleh junta tentera.

Salah seorang penuntut bersama dalam kes itu, seorang aktivis veteran hak asasi manusia Myanmar memberitahu Malaysiakini bahawa tindakan Telenor secara langsung membahayakan orang awam serta mendedahkan aktivis kepada risiko ditahan dan diseksa.

Dalam maklum balas segera kepada pertanyaan Malaysiakini ketika itu, Telenor menyifatkan notis undang-undang itu sebagai “gimik PR dalam kes yang tragik”, sambil menegaskan bahawa pelbagai siasatan oleh polis dan mahkamah Norway tidak membawa kepada “sebarang hasil”.

Jurucakap syarikat itu juga menegaskan kegagalan pengendali telekomunikasi mematuhi permintaan sah kerajaan untuk akses kepada data tertentu boleh meletakkan pekerjanya “dalam bahaya langsung serta membawa implikasi serius”.

Gambar fail, tentera Myanmar.

Syarikat itu mengekalkan pendirian bahawa sebarang penyalahgunaan data pengguna berada di luar kawalannya dan menjadi tanggungjawab pihak tentera Myanmar semata-mata.

Saman yang difailkan JAI hari ini berhujah bahawa Telenor bertanggungjawab membayar Euro$ 9,000 (kira-kira RM41,951) bagi setiap pelanggan yang didakwa datanya dikongsi, kerana syarikat itu gagal menghalang pendedahan tersebut atau secara sedar dan tidak sah membenarkan akses berkenaan melalui anak syarikatnya, Telenor Myanmar Ltd.

Tuntut ganti rugi

Tindakan undang-undang itu turut menuduh ibu pejabat Telenor gagal mengambil langkah mencukupi untuk mencegah penyalahgunaan data pelanggan.

Dua individu yang diwakili dalam kes itu turut menuntut ganti rugi atas kerugian kewangan, dengan penuntut didakwa mengalami pelanggaran hak asasi yang serius selepas data mereka diserahkan kepada pihak tentera.

Saman itu mendakwa Telenor Myanmar mematuhi permintaan tentera untuk mendapatkan data mereka walaupun penilaian dalaman menunjukkan tindakan itu boleh melanggar hak asasi manusia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa berkaitan keselamatan, perlindungan dan kebebasan bersuara.

Seorang daripada penuntut, yang dihukum gantung pada Januari 2022 selepas ditahan tentera di Yangon dua bulan sebelumnya, kini diwakili oleh balunya.

Melalui kenyataan kepada Malaysiakini selepas saman difailkan, peguam Jan Magne Langseth yang mewakili plaintif menegaskan ibu pejabat Telenor “jelas menyumbang” kepada amalan penyerahan data pengguna walaupun menyedari risiko terhadap pelanggan di Myanmar.

Penasihat undang-undang OSJI Beini Ye berkata jika mahkamah mengesahkan kes itu boleh didengar sebagai tindakan saman berkelompok, ia akan menjadi kali pertama sebuah syarikat telekomunikasi dipertanggungjawabkan kerana gagal melindungi data pengguna daripada akses oleh rejim autoritarian.

“Kepentingan duluan sebegini terhadap syarikat lain yang beroperasi di negara berisiko tinggi tidak boleh dipandang remeh,” katanya.

Pengarah advokasi SOMO Joseph Wilde-Ramsing turut menyatakan pandangan sama, menegaskan kes itu perlu menjadi amaran bukan sahaja tentang kawalan korporat terhadap data pengguna secara umum, tetapi khusus kepada Telenor yang menurutnya “terus beroperasi di negara-negara dengan risiko tinggi penyalahgunaan data.”

“Undang-undang privasi lebih kukuh yang memberi kawalan kepada individu, had lebih ketat terhadap penyimpanan data, kewajipan ketelusan yang bermakna, pelan keluar yang bertanggungjawab serta perlindungan yang boleh dikuatkuasakan bagi menghalang syarikat daripada mengumpul data sensitif sejak awal lagi merupakan antara langkah yang diperlukan,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Telenor untuk mendapatkan komen dan sedang menunggu maklum balas.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS