mk-logo
Berita
Kumpulan media gesa polis jelaskan arahan padam gambar ‘rusuhan KTV’
Diterbitkan:  Apr 8, 2026 3:43 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM) menggesa pihak berkuasa memberi penjelasan berhubung tindakan didakwa diambil terhadap tiga wartawan di lokasi sebuah pusat karaoke di Cheras, sehari selepas insiden rusuhan yang dilaporkan melibatkan lebih 50 individu bertopeng.

Kedua-dua kumpulan media itu mengulas laporan akhbar berbahasa Cina Sin Chew semalam yang menyatakan tiga wartawan berkenaan, yang membuat liputan susulan insiden itu, diarahkan memadam semua gambar dan video yang dirakam di lokasi.

“Geramm dan NUJM menggesa penjelasan daripada pihak berkuasa berkaitan, selaras dengan prinsip bahawa kewartawanan bukan jenayah serta keperluan melindungi hak wartawan dalam menjalankan tugas,” kata kedua-dua kumpulan itu dalam satu kenyataan bersama.

Menurut laporan Sin Chew, seorang wartawan wanita dihampiri dua anggota polis berpakaian preman, telefon bimbitnya diperiksa dan dia dibawa masuk ke dalam premis untuk disoal siasat berhubung rakaman yang dibuat ketika pasukan forensik menjalankan tugas.

Wartawan itu juga dilaporkan diarahkan memadam semua gambar dan video sebelum dibebaskan beberapa minit kemudian.

Susulan itu, seorang pegawai penyiasat turut didakwa meminta dua lagi wartawan memadam bahan rakaman mereka serta mengambil gambar kad media mereka.

Secara berasingan, Pemuda DAP pada satu kenyataan berkata tindakan sedemikian berisiko menjejaskan hak asas orang ramai terhadap kebebasan bersuara serta hak wartawan untuk menjalankan tugas pelaporan.

“Pemuda DAP menegaskan bahawa dalam sebuah negara demokratik, kebebasan bersuara dan kebebasan media ialah nilai teras yang tidak boleh dikompromi.

“Pengamal media berhak menikmati kebebasan asas dalam menjalankan tugas mereka, termasuk hak membuat liputan, merakam dan melaporkan hal ehwal awam, selagi tidak mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

“Peranan pengamal media bukan sahaja mencerminkan tanggungjawab profesional tetapi juga menjadi tunjang dalam menyampaikan kebenaran dan memastikan mekanisme semak dan imbang dalam sesebuah negara.

“Sehubungan itu, tindakan polis dalam kes ini jelas melampaui batas dan mencabuli kebebasan media,” katanya.

Pada Isnin, dilaporkan insiden itu menyaksikan sekumpulan penyerang merempuh masuk ke sebuah pusat karaoke menggunakan sebuah lori pada waktu siang sebelum menyebabkan kerosakan besar dan melarikan diri dengan beberapa kenderaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus semalam berkata polis bertindak pantas menahan 12 individu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS