Ahli perniagaan Albert Tei menyuarakan kekecewaan kerana pemakluman status penyiasatan polis berhubung siasatan serbuan SPRM di rumahnya tidak menyebut langsung mengenai pemulangan penyahkod atau dekoder CCTV miliknya.
Dia menegaskan bahawa rakaman pegawai SPRM mengacu pistol ke arahnya dan anggota keluarga semasa serbuan pada November lalu akan didedahkan kepada umum selepas penyahkod itu dikembalikan kepadanya.
Tei, yang mendedahkan dakwaan skandal perlombongan Sabah, turut mengecam apa yang disifatkannya sebagai "penguatkuasaan dua darjat".
“Saya menuntut penjelasan segera daripada pihak polis, berapa lama lagi saya perlu menunggu untuk mendapatkan keputusan daripada timbalan pendakwa raya?
“Apabila kes yang melibatkan individu menentang Kerajaan Madani, tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa dan arahan pendakwaan daripada Peguam Negara secepat kilat.
“Sebaliknya, jika kes yang menuduh salah laku pihak kerajaan, terutamanya melibatkan SPRM, siasatan yang dijalankan mesti melengah-lengahkan,” katanya.
Pada 28 November, dilaporkan bahawa pegawai SPRM menyerbu kediaman Tei, di mana mereka menahan ahli perniagaan itu dan menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan.
Lewat hari tersebut, isteri Tei, Lee Pei Rie, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, menyatakan kebimbangan mengenai keselamatan suaminya sambil mendesak siasatan dijalankan terhadap tingkah laku pegawai SPRM tertentu semasa serbuan.

Dia mendakwa pasukan serbuan menceroboh masuk ke rumah mereka melalui pintu utama sebelum beberapa orang menggari Tei, dan salah seorang pegawai didakwa mengacu pistol ke arah ahli perniagaan tersebut.
Selepas mereka selesai dengan Tei, Lee mendakwa pegawai mengarahkan ahli keluarganya ke sudut lain dan merampas semua telefon bimbit mereka - termasuk milik anak-anak - atas alasan untuk memadam video dan imej.
Kenapa lebih empat bulan?
Tei berkata rakyat Malaysia hilang kepercayaan terhadap polis kerana sikap kerja yang “tidak cekap”, sambil mempersoalkan mengapa mereka mengambil masa lebih empat bulan untuk menyiapkan siasatan terhadap laporan polis isterinya.
Turut dilampirkan bersama kenyataannya ialah surat bertarikh 6 April daripada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sepang, Basirul Hapi Ibrahim.
Dalam surat yang dialamatkan kepada Tetuan Abd Halim Ushah & Associates itu, Basirul berkata pegawai penyiasat sedang dalam proses merujuk kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya.

Kertas siasatan itu diterima daripada Bukit Aman pada 31 Mac, tambahnya.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menafikan senjata api diacu ke kepala Tei semasa tangkapannya, dan suruhanjaya itu membuat laporan polis terhadap "fitnah" berkenaan.
Pada Disember, Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar memberitahu media bahawa mereka belum menemui sebarang bukti bahawa SPRM mengacu pistol ke arah Tei dan isterinya.
Bagaimanapun, bulan lalu, Tei mendedahkan kepada media dua imej yang didakwa menunjukkan pegawai SPRM "bersenjata" di kediamannya semasa serbuan pada November lalu.
