Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan biadab – Syahredzan bidas dakwaan melulu bekas MP Singapura
Diterbitkan:  Apr 8, 2026 4:44 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Anggota parlimen DAP, Syahredzan Johan hari ini menyelar bekas anggota Parlimen dilantik (NMP) Singapura kerana membuat sindiran terhadap Malaysia berhubung dasar luar negara ini.

Ia susulan tindakan Calvin Cheng yang mengkritik negara-negara yang berunding dengan Iran untuk laluan selamat kapal tangki minyak mereka dan mendakwa Singapura tidak mengambil pendekatan sedemikian kerana ia "tidak berunding dengan pengganas."

Dalam satu hantaran di Facebook, Syahredzan menegur warga Singapura itu dengan menyatakan bahawa rakyat Malaysia tidak menghargai "orang luar" seperti Cheng yang membuat ulasan sedemikian.

"...kenyataannya mengenai negara yang 'merundingkan laluan selamat' tetapi 'kehabisan minyak bulan depan' bagi saya adalah rujukan jelas kepada Malaysia walaupun dia tidak menyebut nama kita.

"Biar saya jelaskan ini: kita menghormati pendirian Singapura dalam konflik ini. Setiap negara mempunyai keperluan tenaga yang berbeza, dan menggunakan cara berbeza untuk mengatasi krisis.

"Malaysia juga akan menentukan haluannya sendiri demi rakyatnya. Kerajaan kita akan melakukan apa yang perlu untuk melindungi rakyat Malaysia, termasuk merundingkan laluan melalui Selat Hormuz.

"Teruskan menyokong pendirian negara anda. Itu hak anda. Tetapi jangan babitkan kami," kata anggota parlimen Bangi itu petang tadi.

Semalam, Cheng, yang berkhidmat sebagai NMP di Singapura antara 2009 dan 2011, berkongsi di Facebook tangkapan skrin artikel berita mengenai keengganan Singapura berunding dengan Iran untuk laluan selamat melalui perairan tersebut.

Dia menyertakan hantaran itu dengan kenyataan yang menyokong keputusan tersebut sambil mengecam Iran dan negara lain yang memutuskan untuk berunding dengan negara Asia Barat itu.

Syahredzan mendakwa kenyataan Cheng juga menyalahertikan pendirian Singapura dalam isu berkenaan.

Menurut pemimpin DAP itu, Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan - yang dipetik dalam artikel tersebut - tidak mengatakan bahawa republik itu enggan berunding kerana Singapura tidak berunding dengan pengganas.

"Kedua, Iran adalah sebuah negara berdaulat, bukannya organisasi pengganas.

"Semua negara yang merundingkan laluan selamat melalui selat itu melakukannya dengan Republik Islam Iran, iaitu sebuah negara, dan ini sudah tentu termasuk Malaysia. Bukan dengan mana-mana organisasi atau badan, tetapi negara itu sendiri.

"Dengan kenyataan melulu seperti ini dan kenyataan dia sebelum ini, tidak hairanlah dia dituduh sebagai Islamofobia," kata Syahredzan, merujuk kepada kontroversi tahun lalu susulan kenyataan yang dibuat oleh Cheng mengenai konflik Israel-Palestin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS