Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan rayuan difailkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, isterinya Betty Chew dan ahli perniagaan Phang Li Koon untuk membatalkan pertuduhan rasuah melibatkan projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta dan pengubahan wang haram.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah menangguhkan keputusan selepas mendengar hujahan daripada peguam Datuk Seri V Sithambaram yang mewakili Phang, peguam RSN Rayer mewakili Lim dan isterinya serta Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul.
"Kami menetapkan 27 April untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh keputusan,” kata Hakim Azman yang bersidang bersama-sama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid.
Pada 3 Mei 2024, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolah permohonan Lim, Chew dan Phang untuk membatalkan pertuduhan berkenaan, dengan menyatakan doktrin autrefois acquit atau peraturan terhadap pendakwaan berganda yang dihujahkan oleh pihak pembelaan tidak terpakai kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
Pada 26 Mei 2023, Lim, Chew dan Phang memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram atas alasan pihak pendakwaan menggunakan keterangan daripada kes terdahulu membabitkan pembelian banglo oleh Lim di Jalan Pinhorn, walaupun beliau dibebaskan dan dilepaskan pada 2018.
Terdahulu, Sithambaram dalam hujahnya berkata tindakan pihak pendakwaan memfailkan pertuduhan berdasarkan siri kesalahan sama atau seumpamanya adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah, memandangkan kesalahan terbabit tidak dipertikaikan mempunyai kaitan dengan prosiding pertama (kes melibatkan pembelian banglo oleh Lim).
“Pertuduhan semasa terhadap Phang dan Lim dalam prosiding ketika ini (projek asrama) sepatutnya boleh difailkan oleh pihak pendakwaan dalam prosiding pertama memandangkan isu, fakta dan bukti yang kini digunakan oleh pihak pendakwaan adalah sebahagian daripada pertuduhan dalam prosiding pertama, yang telah dijadikan asas oleh pihak pendakwaan untuk membuktikan kesalahan yang didakwa pada masa itu.
“Pihak pendakwaan sendiri mengakui bahawa pertuduhan semasa dalam prosiding sekarang adalah berasaskan bukti yang sama terhadap Phang dan Lim dalam prosiding pertama,” katanya.
Sementara itu, Rayer mengguna pakai hujahan Sithambaram.
Ashrof Adrin berkata fakta dalam kedua-dua prosiding bukan sama seperti yang dihujahkan oleh pihak perayu sebaliknya fakta baharu yang hanya ditemui selepas siasatan diteruskan susulan perintah pembebasan dan pelepasan dalam prosiding pertama.
"Kami berhujah bahawa Seksyen 302 Kanun Prosedur Jenayah tidak terpakai dalam situasi ini memandangkan kesalahan jenayah dalam prosiding pertama dan prosiding sekarang adalah berdasarkan fakta yang berbeza.
“Walaupun kedua-duanya adalah tuduhan jenayah berasaskan jenis kesalahan yang sama seperti diperuntukkan di bawah undang-undang iaitu Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan juga fakta bahawa kesalahan terbabit dilakukan oleh tertuduh yang sama iaitu para perayu, ia masih dua kesalahan yang berasingan berdasarkan fakta yang terkandung,” kata Ashrof Adrin.
Berdasarkan pertuduhan, Lim sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) didakwa telah menggunakan kedudukan untuk suapan iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan bernilai RM11,610,000 yang Chew secara tidak langsung mempunyai kepentingan.
Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan terbabit antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar di George Town, Pulau Pinang.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Phang pula didakwa bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Lim dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama dan boleh dihukum di bawah seksyen dan hukuman serupa.
Chew didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM372,009 daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang telah dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.
Beliau dituduh melakukan kesalahan itu pada tarikh berbeza antara 7 Okt 2013 dan 4 Ogos 2014, 3 Sept 2014 dan 11 Ogos 2015 serta 4 Sept 2015 dan 3 Mac 2016 di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes rasuah mereka masih belum didengar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
- Bernama
