Larangan terhadap sebuah persatuan tokong di Pulau Pinang daripada menganjurkan rumah terbuka hari raya dibuat bagi menjaga sensitiviti agama serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
Menurut Mufti Pulau Pinang, Mohd Sukki Othman, keputusan itu dibuat berasaskan pertimbangan syariah yang teliti iaitu dengan mengambil kira realiti masyarakat majmuk di Malaysia.
“Antara kebimbangan yang mungkin timbul termasuklah isu penganjur rumah ibadat bukan Islam, yang secara tidak langsung dikaitkan dengan identiti dan simbol keagamaan tertentu,”
“Dalam konteks ini, terdapat sensitiviti yang perlu dijaga agar tidak menimbulkan tanggapan bahawa wujudnya pengiktirafan terhadap ritual atau amalan keagamaan lain dalam bentuk yang boleh mengelirukan umat Islam,” katanya.
Tambah Mohd Sukki, masyarakat awam yang tidak mempunyai kefahaman mendalam terdedah kepada salah faham mengenai batas interaksi antara agama dalam Islam.
Terdahulu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang melarang Persatuan Tokong Thean Hock Keong daripada mengadakan majlis rumah terbuka hari raya Aidilfitri kerana “aktiviti keagamaan orang Islam” harus mendapat kelulusan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.


Ia dikuatkuasakan walaupun persatuan itu menegaskan hanya makanan halal disediakan dan ia bertujuan memupuk perpaduan dan mengeratkan hubungan dalam komuniti setempat.
Dua prinsip syariah
Sementara itu, dalam kenyataan ketika menjawab soalan Malaysiakini, Mohd Sukki berkata dalam kerangka syariah, prinsip pemeliharaan agama atau hifz al-din menjadi antara asas utama dalam membuat pertimbangan.
“Prinsip ini menuntut agar akidah umat Islam sentiasa dipelihara daripada sebarang bentuk kekeliruan, percampuran atau unsur yang boleh menjejaskan kefahaman terhadap ajaran Islam,” katanya.
Mohd Sukki menjelaskan bahawa sebarang program yang melibatkan premis atau simbol keagamaan bukan Islam memerlukan penelitian yang lebih berhati-hati, khususnya dari sudut persepsi dan implikasi terhadap masyarakat awam.
Dalam masa sama, bekas pensyarah agama itu turut merujuk kepada kaedah fiqh Sadd al-Zari’ah (menutup pintu kepada kemudaratan), sebagai antara asas pertimbangan mereka.
Walaupun interaksi antara agama adalah harus serta digalakkan dalam konteks memupuk muhibah, tambah Mohd Sukki, langkah pencegahan boleh diambil sekiranya terdapat ada kemungkinan membawa kepada “kekeliruan akidah atau salah tafsir”.
“Islam bukan sahaja melihat kepada niat sesuatu tindakan, tetapi juga kesan dan implikasinya,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Mohd Sukki menegaskan bahawa Islam tidak menolak kepentingan hubungan baik antara penganut agama berbeza.
Nilai seperti ta‘aruf (saling mengenali), ta‘ayush (hidup bersama secara aman) dan tasamuh (toleransi) kekal menjadi asas dalam membina masyarakat yang harmoni.
“Pendekatan yang diambil perlu difahami sebagai usaha untuk mencari keseimbangan antara memelihara akidah dan mengekalkan keharmonian sosial,” katanya.
