Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi gagal faham realiti pembentukan Malaysia, kata Pemuda DAP Sabah
Diterbitkan:  Apr 8, 2026 8:31 PM
Dikemaskini: 12:31 PM

Pemuda DAP Sabah hari ini mengecam Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mempersoalkan perbezaan pendekatan harga minyak antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Ketuanya, Chan Loong Wei menyifatkan Hadi gagal memahami realiti asas pembentukan Malaysia.

Katanya, sebagai pemimpin kanan yang menerajui Perikatan Nasional (PN), Hadi sepatutnya lebih peka bahawa Sabah dan Sarawak bukan sekadar negeri biasa, sebaliknya rakan setaraf dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Tindakan mempersoalkan layanan berbeza dalam isu subsidi bahan api seolah-olah menafikan keperluan dasar nasional untuk mengambil kira perbezaan struktur, geografi, dan kos sara hidup antara wilayah.

"Kenyataan yang mempersoalkan layanan berbeza ini seolah-olah menafikan hakikat bahawa dasar nasional perlu mengambil kira perbezaan struktur, geografi dan kos sara hidup antara wilayah," katanya dalam satu kenyataan media.

Mengulas lanjut, Chan menolak naratif Abdul Hadi yang mengaitkan isu harga minyak dan subsidi diesel dengan konflik geopolitik di Selat Hormuz melibatkan Iran, Amerika Syarikat, atau Israel.

Katanya, kaitan tersebut tidak relevan dan mengelirukan kerana cabaran sebenar di Borneo adalah bersifat domestik, terutamanya melibatkan kos logistik yang tinggi serta keadaan muka bumi yang mencabar.

"Di Sabah khususnya, rangkaian jalan raya merentasi kawasan berbukit dan kawasan luar bandar yang berselerak menjadikan diesel sebagai komponen kos yang kritikal.

"Tanpa subsidi bersasar yang sesuai dengan realiti tempatan, kenaikan harga bahan api akan memberi kesan langsung kepada harga barang keperluan asas," katanya.

Portal HarakahDaily sebelum ini melaporkan bahawa PAS mengingatkan umat Islam di negara ini agar tidak terus membiarkan diri ditipu oleh pelbagai helah politik dan ekonomi, termasuk isu kenaikan harga minyak yang didakwa tidak berasas.

Hadi menegaskan tiada sebab kukuh untuk harga minyak dinaikkan di Semenanjung Malaysia memandangkan negara ini mempunyai sumber petroleum sendiri dan tidak terlibat dalam sekatan antarabangsa oleh Iran di Selat Hormuz.

Menurutnya, pengecualian harga minyak di Sabah dan Sarawak membuktikan bahawa alasan kenaikan harga di Semenanjung adalah sesuatu yang boleh dipersoalkan.

Mengulas lanjut, Chan menekankan bahawa pendekatan berbeza antara wilayah bukanlah satu bentuk ketidakadilan, sebaliknya ia adalah keperluan dasar yang pragmatik.

"Malaysia tidak dibina atas prinsip 'satu acuan untuk semua', tetapi atas persefahaman bahawa setiap wilayah mempunyai keunikan yang mesti dihormati."

"Pemuda DAP Sabah menyeru pimpinan pembangkang agar berhenti mempolitikkan isu kebajikan rakyat secara simplistik.

"Sabah dan Sarawak bukan untuk dibanding-bandingkan secara simplistik, tetapi untuk difahami dan dihormati," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS