Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Madani Mart: Peguam sanggah hujah 'bukan francais' Fuziah
Diterbitkan:  Apr 9, 2026 9:15 AM
Dikemaskini: 1:16 AM

Seorang ahli undang-undang menegur Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, selepas dia menegaskan semula dakwaannya bahawa Madani Mart bukanlah perniagaan francais.

Peguam Damian Yeo memberitahu Malaysiakini, ciri-ciri Madani Mart sebagai francais ialah: memberikan hak untuk menggunakan jenamanya; perkhidmatan yang disediakan termasuk latihan, pengurusan sistem dan strategi pemasaran; kawalan berterusan melalui item stok mandatori dan pemantauan prestasi; dan keperluan pemegang lesen untuk membayar yuran pelesenan dan royalti.

Yeo menekankan bahawa Seksyen 4 Akta Francais tidak mengehadkan pertimbangan kepada hanya “royalti”.

“Bahasa akta ini jauh lebih luas, apabila francais boleh dikehendaki membayar ‘yuran atau bentuk balasan lain’, manakala ‘perjanjian francais’ merujuk kepada perjanjian yang dibuat ‘untuk sebarang bentuk balasan’.

“Oleh itu, dari sudut statutori, tumpuannya bukan pada label ‘royalti’, sebaliknya pada kewujudan sebarang bentuk balasan…

“Saya berani katakan logik ‘tiada royalti, oleh itu tiada francais’ adalah hujah yang tidak mencukupi dari segi undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun, Yeo mengakui dia tidak dapat melabelkan Madani Mart sebagai francais secara pasti sementara menunggu semakan semula perjanjian sebenar, manual operasi, prosedur operasi standard dan struktur dokumentasinya.

Semalam Fuziah menegaskan pandangannya bahawa Madani Mart bukanlah sejenis kerana ia tidak mengutip royalti selain mempunyai struktur pelesenan yang betul.

Komen itu dibuat selepas Malaysiakini melaporkan penjelasan aspek undang-undang tentang bagaimana Madani Mart memenuhi banyak kriteria francais seperti yang ditakrifkan di bawah Akta Francais.

Yayasan Madani – yang dipengerusikan dan diasaskan bersama oleh Fuziah – sebelum ini berkata setiap pembukaan Madani Mart akan menelan belanja maksimum RM420,000 kepada pengendalinya, termasuk yuran pelesenan RM30,000.

Dalam kenyataan yang menggariskan komitmen kewangan yang diperlukan untuk menubuhkan cawangan Madani Mart, pengurus yayasan itu, Lutfi Ariffin, berkata pemberi lesen juga perlu membayar yuran pembaharuan lesen tahunan sebanyak RM5,000.

Sasaran buka di seluruh negara

Pemberi lesen juga akan dikenakan "yuran perkhidmatan" bulanan sebanyak RM2,000 untuk menampung kos sistem dan operasi Madani Mart, serta langkah tanggungjawab sosial korporat.

Merujuk kepada pelbagai pembayaran yang diperlukan itu, Yeo menegaskan bahawa hanya kerana pembayaran tidak dinamakan sebagai "royalti", bukan bermakna ia bebas daripada tertakluk di bawah Akta Francais.

Katanya Yayasan Madani sebagai pemberi lesen, penyedia latihan, sokongan, pemantauan prestasi, pengurusan sistem dan pembangunan rantaian bekalan kepada pemegang lesen Madani Mart sebagai pertukaran untuk yuran pelesenan ada persoalan perundangan yang perlu diambil kira.

“... persoalan undang-undang yang timbul bukan sahaja tentang pembayaran, tetapi juga tentang sistem perniagaan, hak untuk menggunakan jenama atau konsep dan kawalan berterusan ke atas operasi - (ini adalah) elemen yang sangat hampir dengan definisi francais di bawah Seksyen 4 (Akta Francais),” katanya.

Dia juga memetik kes Dr H K Fong Brainbuilder Pte Ltd lwn SG-Maths Sdn Bhd yang menyaksikan Mahkamah Rayuan bersetuju bahawa perjanjian yang dilabel sebagai lesen masih boleh berada dalam lingkungan Akta Francais apabila elemen seksyen 4 akta itu dipenuhi.

Di bawah akta tersebut, perniagaan francais mesti berdaftar dengan Pendaftar Francais sebelum ia boleh mendaftarkan pemegang francais.

Pada 3 April lalu, Fuziah berkata Madani Mart menyasarkan membuka sehingga 640 cawangan di seluruh negara, dengan kedai pertama dilancarkan di Kuantan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS