Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lubnan jadi titik perbalahan antara Trump, Pakistan, Iran
Diterbitkan:  Apr 9, 2026 11:21 AM
Dikemaskini: 5:58 AM

Lubnan bukan sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang dimeterai Amerika Syarikat (AS) dengan Iran "disebabkan oleh Hezbollah" tetapi mereka akan "diuruskan," kata Presiden AS Donald Trump kepada PBS News dalam satu temu bual pada Rabu, sehari selepas perjanjian gencatan senjata dia dengan Iran.

Apabila ditanya sama ada dia bersetuju dengan serangan berterusan Israel, Trump berkata "itu adalah pertempuran kecil yang berasingan," kata Liz Landers dari program "News Hour" PBS dalam satu hantaran di X selepas temu bual tersebut.

Dakwaan Trump itu bercanggah dengan kenyataan Pakistan yang menjadi pengantara perjanjian gencatan senjata tersebut.

Selepas Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Lubnan semalam, yang mengakibatkan lebih 1,400 orang terbunuh atau cedera di kawasan padat penduduk, Trump menjelaskan perang Israel ke atas Hezbollah sebagai "konflik berasingan".

"Disebabkan Hezbollah, mereka tidak termasuk dalam perjanjian itu," kata Trump kepada PBS.

"Tidak mengapa, iIa akan diselesaikan juga," katanya.

Bagaimanapun, Iran berkeras bahawa Lubnan termasuk dalam perjanjian itu, menandakan satu perbezaan utama mengenai gencatan senjata yang rapuh untuk menamatkan konflik.

Dalam satu hantaran di X, menteri luar Iran, Abbas Araghchi berkata perang Israel ke atas Hezbollah di Lubnan mesti dihentikan sebagai sebahagian daripada perjanjian itu.

Abbas Araghchi

"Dunia melihat pembunuhan beramai-ramai di Lubnan.

"Bola kini berada di gelanggang AS dan dunia sedang memerhatikan sama ada ia akan menunaikan komitmennya," katanya.

Sementara itu, Axios memetik setiausaha akhbar White House, Karoline Leavitt sebagai berkata bahawa Lubnan bukan sebahagian daripada perjanjian itu.

"Lubnan bukan sebahagian daripada gencatan senjata yang telah disampaikan kepada semua pihak yang terlibat," katanya kepada wartawan.

Leavitt turut menolak spekulasi bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mungkin cuba melemahkan gencatan senjata dengan menyerang Lubnan, sambil menegaskan bahawa Israel kekal sebagai "sekutu dan rakan penting" kepada AS.

Kedua-dua Leavitt dan Trump tidak mengulas mengenai pengumuman Pakistan yang menyatakan Lubnan termasuk dalam gencatan senjata tersebut.

Terpulang jika mahu gencatan senjata 'hancur'

Sementara itu, AFP memetik Naib Presiden AS JD Vance pada Rabu menggesa Iran supaya tidak membiarkan perjanjian gencatan senjata yang rapuh itu hancur disebabkan serangan Israel ke atas Lebanon.

"Saya fikir pihak Iran menyangka bahawa gencatan senjata itu merangkumi Lubnan, walhal sebenarnya tidak.

JD Vance

“Kami tidak pernah membuat janji sedemikian," kata Vance ketika meninggalkan Hungary dan dijadualkan mengetuai rundingan dengan Tehran di Pakistan dalam beberapa hari lagi.

"Jika Iran mahu membiarkan rundingan ini hancur... disebabkan Lubnan, yang tiada kaitan dengan mereka, dan Amerika Syarikat tidak pernah sekali pun menyatakan ia sebahagian daripada gencatan senjata.

“Akhirnya itu adalah pilihan mereka," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS