Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Larangan rumah terbuka Aidilfitri di tokong wajar, kata Zainul Rijal
Diterbitkan:  Apr 9, 2026 11:37 AM
Dikemaskini: 4:29 AM

Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Zainul Rijal Abu Bakar menyokong tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang melarang sebuah persatuan tokong daripada menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri.

Katanya, penganjuran majlis berkaitan agama Islam oleh persatuan agama bukan Islam sebagai sesuatu yang "pelik" dan tidak sesuai dilakukan di pekarangan rumah ibadat agama lain.

Zainul Rijal Abu Bakar

"Sangat pelik apabila persatuan agama bukan Islam hendak menganjurkan majlis yang mempunyai kaitan dengan agama Islam. Tahniah kepada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dan Mufti Pulau Pinang yang melarang program tersebut.

"Walaupun tiada ibadah Islam akan dilakukan di dalam program tersebut, ia masih tidak sesuai dianjurkan bukan Islam.

“Biarlah orang Islam yang anjurkan dan tidak di dalam perkarangan rumah anutan bukan Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Peguam itu turut menegaskan bahawa konsep keharmonian tidak seharusnya menormalisasikan program sedemikian sehingga mengabaikan sensitiviti agama.

"Harmoni bukan tiket melakukan segala-galanya. Bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama kami.

“Hormatilah sensitiviti itu. Jangan normalisasi program sebegini walaupun atas nama harmoni," katanya lagi.

Isu sensitiviti dan kekeliruan akidah

Terdahulu, Mufti Pulau Pinang Mohd Sukki Othman menjelaskan bahawa larangan terhadap Persatuan Tokong Thean Hock Keong itu dibuat bagi menjaga sensitiviti serta mengelakkan kekeliruan akidah dalam kalangan umat Islam.

Menurut Mohd Sukki, keputusan itu berasaskan prinsip syariah Sadd al-Zari’ah (menutup pintu kemudaratan) bagi mengelakkan salah faham masyarakat awam mengenai batas interaksi antara agama.

Mohd Sukki Othman

"Terdapat sensitiviti yang perlu dijaga agar tidak menimbulkan tanggapan bahawa wujudnya pengiktirafan terhadap ritual atau amalan keagamaan lain dalam bentuk yang boleh mengelirukan umat Islam," kata Mohd Sukki.

Sebelum ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang mengeluarkan surat larangan kepada Persatuan Tokong Thean Hock Keong dengan menyatakan bahawa sambutan Aidilfitri adalah aktiviti keagamaan masyarakat Islam yang memerlukan kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

Susulan itu, setiausaha persatuan tersebut, Ng Choong Seong menyatakan rasa kecewa atas pembatalan berkenaan memandangkan pihaknya telah merancang rapi termasuk menyediakan makanan halal dan berunding dengan pemimpin masjid tempatan bagi memupuk perpaduan komuniti.

'Harus' jika patuh syarat - Sheikh Umar

Sementara itu, ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, kaedah "Dar’u al-Mafasid Muqaddam ‘ala Jalb al-Masalih" iaitu tindakan mengelak mudarat perlu diutamakan sekiranya sesuatu perkara itu berisiko mendatangkan kesan negatif yang lebih besar walaupun mempunyai manfaat.

Sheikh Umar Bagharib Ali

"Meski ada kebimbangan salah faham di kalangan masyarakat awam, ia bukan alasan untuk kita menjadi taboo. Sebaliknya ia perlu diwacana secara sihat khususnya dalam latar kemajmukan Malaysia.

"Saya mengajak semua pihak untuk melihat isu ini dengan hikmah, berasaskan ilmu dan prinsip syariah yang seimbang agar kita dapat terus membina masyarakat dan negara Malaysia yang bersatu padu," katanya.

Sheikh Umar yang juga naib pengerusi DAP Johor berkata dalam kaedah fikah, asal sesuatu perkara dunia seperti jamuan makan adalah harus melainkan terdapat unsur yang bercanggah dengan syarak.

"Jika ada unsur ritual agama atau dibuat dalam ruang sembahan yang boleh menimbulkan kekeliruan akidah, ia boleh jatuh haram.

"Jika sekadar jamuan sosial, tiada unsur keagamaan, ia adalah harus.

“Jika dibuat untuk memupuk perpaduan, mengerat persaudaraan, program terkawal dengan adab dan etika, ia amat digalakkan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dia seterusnya menggariskan empat syarat utama bagi membolehkan penganjuran sedemikian dianggap wajar mengikut prinsip syariah:

  • Tidak diadakan di premis ibadat khusus seperti kawasan sembahan tokong.

  • Tiada penglibatan ritual keagamaan bukan Islam dalam program tersebut.

  • Makanan dan minuman yang disediakan adalah halal serta diyakini kebersihannya.

  • Program kekal sebagai acara sosial, bukannya mencampuradukkan amalan keagamaan.

Menurut Sheikh Umar, pendekatan hukum perlu menilai keseimbangan antara penjagaan agama (Hifz al-Din) dan maslahah sosial bagi menjamin keharmonian kaum di Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS