Syarikat pemprosesan nadir bumi, Lynas Rare Earths (Lynas), merancang untuk mengembangkan pengeluarannya di Malaysia dengan pengekstrakan tiga "oksida nadir bumi berat" yang kini mendapat permintaan tinggi susulan sekatan eksport unsur nadir bumi (REE) oleh China tahun lalu.
Agensi berita AFP yang menemu bual pegawai Lynas melaporkan, tiga elemen tersebut — disprosium, terbium, dan samarium — digunakan dalam magnet berprestasi tinggi untuk industri maju seperti elektronik dan aeroangkasa.
Kemudahan Lynas di Gebeng bukan sahaja mampu menghasilkan elemen nadir bumi ringan, malah merupakan satu-satunya pengeluar utama nadir bumi berat di luar China.
Ia menjadikan loji tersebut satu-satunya pengeluar yang tidak tertakluk kepada kawalan eksport mineral kritikal oleh Beijing.
Ketua Pegawai Operasi Lynas, Pol Le Roux, dilaporkan berkata syarikat itu merancang untuk meningkatkan kerjasama dengan pembuat magnet, dan sebagai langkah pertama, membuktikan keupayaannya untuk mengekstrak elemen-elemen tersebut.
Untuk itu, katanya, Lynas telah memulakan kejuruteraan terperinci untuk pengasingan penuh REE berat, yang menurut Le Roux akan memberikan syarikat itu "keupayaan mengekstrak sebarang nadir bumi yang diminta oleh pasaran."
"Ini sedang berjalan, dan kami akan mempunyai set lengkap pengekstrakan di tapak ini," katanya kepada agensi media antarabangsa itu ketika temu bual di Gebeng, Pahang, baru-baru ini.
Jelasnya, keupayaan penuh itu dijangka siap menjelang akhir 2027.
Menurut Le Roux lagi, firma perlombongan Australia itu telah membuktikan ia mampu mengekstrak nadir bumi berat sejak tahun lalu, dengan disprosium pada Mei, terbium pada Jun, dan samarium pada Mac.

REE merujuk kepada kumpulan 17 logam dan oksidanya yang digunakan dalam pelbagai aplikasi teknologi tinggi. Ia mempunyai kepentingan strategik dalam perang perdagangan yang sedang berlaku antara AS dan China.
Bulan lalu, dua penyokong pro-Palestin menggesa Malaysia untuk mengenakan sekatan terhadap eksport REE yang diproses oleh Lynas.
Gesaan itu dibuat susulan tindakan syarikat terbabit menandatangani surat niat mengikat dengan Jabatan Pertahanan AS bagi memuktamadkan perjanjian empat tahun membekalkan mineral nadir bumi kepada sektor pertahanan AS.
Pengerusi Boycott Divestment & Sanctions Malaysia (BDS), Nazari Ismail, berkata perjanjian perniagaan tersebut turut mencabar semangat dasar luar Malaysia yang tidak memihak kepada mana-mana blok.
Katanya, Putrajaya patut bimbang dengan perjanjian Lynas itu memandangkan peranan Washington dalam serangan bom ke atas dua buah sekolah di Iran yang mengorbankan lebih 100 pelajar.
Nazari berkata memandangkan Lynas memegang lesen operasi yang dikeluarkan oleh Putrajaya, syarat-syarat lesen tersebut harus disemak semula untuk merangkumi sekatan ke atas pembeli akhir bahan yang diproses.
Bekas Naib Presiden PKR yang juga aktivis pro-Palestin, Tian Chua, turut senada dengan Nazari.
Dia mengakui, walaupun undang-undang mungkin tidak menyediakan mekanisme yang jelas untuk menghalang Lynas — sebuah syarikat swasta yang disenaraikan di luar negara — daripada memasuki perjanjian komersial dengan badan pertahanan AS, Malaysia tidak terlepas daripada tanggungjawab tersebut.
