Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Firdaus Wong persoal masjid, NGO Islam anjur sambutan perayaan agama lain
Diterbitkan:  Apr 9, 2026 12:49 PM
Dikemaskini: 4:49 AM

Aktivis agama Firdaus Wong Wai Hung mempersoalkan tindakan segelintir pengurusan masjid, surau, serta badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang menganjurkan sambutan perayaan agama lain di premis mereka dengan alasan untuk berdakwah.

Sambil membidas tindakan itu, katanya, umat Islam dan institusi agama perlu bersikap konsisten dalam mempertahankan prinsip bagi mengelakkan kekeliruan dalam masyarakat.

"Jangan kita hanya melarang pertubuhan agama lain menganjurkan sambutan agama Islam tetapi pada waktu yang sama, kita izinkan pula organisasi Islam menganjurkan perayaan selain dari perayaan Islam pula.

"Umat Islam perlu konsisten dengan prinsip," katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.

Wong mengulas tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang yang mengeluarkan surat larangan kepada Persatuan Tokong Thean Hock Keong yang merancang mengadakan sambutan Aidilfitri di tokong berkenaan.

Ini, termasuk menyediakan makanan halal dan berunding dengan pemimpin masjid tempatan atas alasan bagi memupuk perpaduan komuniti.

Mengulas isu itu, Wong berkata alasan "keharmonian" tidak seharusnya digunakan sebagai justifikasi untuk menganjurkan perayaan yang bersifat keagamaan Islam oleh pihak bukan Islam.

"Keharmonian akan tercapai bila mana kita saling hormat menghormati hak satu sama lain untuk beragama dan meraikan perayaan masing-masing sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Dia juga menekankan bahawa terdapat perbezaan jelas antara konsep tauhid dan syirik yang perlu difahami oleh semua pihak agar tidak melanggar garis panduan agama dalam usaha mengejar keharmonian kaum.

Sebelum ini, pelbagai pihak menyuarakan sokongan terhadap tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang yang melarang sebuah persatuan tokong daripada menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri.

Antaranya, termasuk Mufti Pulau Pinang Mohd Sukki Othman yang menjelaskan bahawa larangan terhadap Persatuan Tokong Thean Hock Keong itu dibuat bagi menjaga sensitiviti serta mengelakkan kekeliruan akidah dalam kalangan umat Islam.

Menurut Mohd Sukki, keputusan itu berasaskan prinsip syariah Sadd al-Zari’ah (menutup pintu kemudaratan) bagi mengelakkan salah faham masyarakat awam mengenai batas interaksi antara agama.

Bagi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), penganjuran majlis berkaitan agama Islam oleh persatuan agama bukan Islam sebagai sesuatu yang "pelik" dan tidak sesuai dilakukan di pekarangan rumah ibadat agama lain.

Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, walaupun tiada ibadah Islam akan dilakukan di dalam program tersebut, ia masih tidak sesuai dianjurkan bukan Islam.

“Biarlah orang Islam yang anjurkan dan tidak di dalam perkarangan rumah anutan bukan Islam," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS