Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Gen Z akan ingat detik ini di peti undi’
Diterbitkan:  Apr 9, 2026 2:17 PM
Dikemaskini: 6:18 AM

Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengalu-alukan pembebasan awal tiga aktivis belia–yang ditahan kerana menunjuk perasaan ketika Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berucap–daripada tahanan reman.

Bagaimanapun, parti itu memberi amaran bahawa ia akan diingati oleh golongan muda dalam pilihan raya akan datang.

“Belia dan Gen Z kini membentuk salah satu blok pengundi terbesar dan paling bermaklumat di Malaysia. 

“Pengabaian berterusan terhadap seruan mereka untuk reformasi tidak akan dibiarkan tanpa jawapan. 

“Detik ini akan diingati dan ia akan dicerminkan di peti undi,” kata naib presidennya Leben Siddarth.

Leben Siddarth

Tiga aktivis itu–Ahsanul Akmal Sulam,  Fakrurrazzi Khairur Rijal dan Hamdin Nordin–dibebaskan pagi ini selepas terlibat dalam protes terhadap Azam dalam majlis ketika dia sedang berucap.

Mereka disiasat bagi kesalahan menghalang penjawat awam, pencerobohan, provokasi dan gangguan ketenteraman awam, dengan hukuman antara denda ringan (RM100) hingga penjara dua tahun.

Dalam acara “wacana ilmiah perdana” anjuran Asia e University (AeU), di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur itu, terdapat insiden mengangkat sepanduk “Tangkap Azam Baki”. 

Salah sasar

Dalam kenyataan hari ini, Leben berkata, peristiwa sepanjang 48 jam lalu jelas menunjukkan bahawa kerajaan dan agensi penguatkuasanya menyasarkan individu yang salah. 

“Ketika tiga anak muda Malaysia ditahan kerana memegang plakad secara senyap, pihak yang terlibat dalam kontroversi institusi yang serius terus mengelak daripada  benar-benar dipertanggungjawabkan. 

“Pihak berkuasa tidak sepatutnya membazirkan sumber awam untuk mengawal tindakan senyap pelajar,” katanya.

“Aktivis ini bukan ‘pencetus masalah’. Mereka menjelmakan hati nurani dan aspirasi belia Malaysia. Generasi ini menolak retorik kosong dan menuntut akauntabiliti, ketelusan, dan reformasi yang tulen. 

“Percubaan untuk membuli atau menekan penentangan aman melalui penggunaan institusi negara sebagai senjata tidak akan berjaya. 

“Belia negara ini sedang memerhati dan mereka tidak akan disenyapkan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS