Seorang penjaga sebuah pusat jagaan kanak-kanak tidak berlesen mengaku bersalah atas 15 pertuduhan melibatkan serangan seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap lima kanak-kanak lelaki, dengan mangsa paling muda berusia lapan tahun.
Tertuduh, Retna Velu, yang memakai kemeja-T hitam, membuat pengakuan itu dalam bahasa Tamil di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Ampang, Norshila Kamarudin dan Ho Kwong Chin.
Menurut laporan New Straits Times, sebanyak 12 pertuduhan melibatkan penderaan seksual secara fizikal dan bukan fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia antara lapan hingga 13 tahun, yang berlaku pada November tahun lalu serta Februari dan Mac tahun ini di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Pertubuhan Kebajikan Sri Bala Illam di Taman Permata Biru, Batu Caves, Gombak.
Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 14(a) dan 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak. Seksyen 14(a) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala Seksyen 15(a)(i) boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda RM20,000.
Retna turut mengaku bersalah atas tiga pertuduhan melakukan persetubuhan terhadap dua mangsa lelaki berusia lapan dan 10 tahun di pusat jagaan sama pada awal tahun ini.
Sementara itu Bernama melaporkan seorang penjaga sebuah rumah kebajikan kanak-kanak mengaku bersalah di dua Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas 15 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal, bukan fizikal serta persetubuhan luar tabii terhadap lima kanak-kanak lelaki.
Retna Velu, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim Norshila Kamarudin dan Ho Kwong Chin.
Mengikut 12 pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap lima kanak-kanak lelaki berumur antara lapan hingga 13 tahun, di pusat jagaan kanak-kanak sebuah pertubuhan di Batu Caves, antara November 2025 dan 27 Mac 2026.
Bagi kesalahan melakukan amang seksual fizikal, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Kesalahan melakukan amang seksual bukan fizikal pula, pertuduhan mengikut Seksyen 15 (a) (i) akta sama, yang berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Retna juga berdepan tiga pertuduhan dengan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap dua kanak-kanak sama, di lokasi sama, pada Februari dan Mac tahun ini, mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin sehingga tarikh fakta kes dan jatuh hukum pada 21 Mei ini.
Sementara itu, pemilik rumah kebajikan tersebut, SValan, 31, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan di dua mahkamah sama.
Mengikut pertuduhan, Valan didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap empat kanak-kanak lelaki berusia antara 13 hingga 16 tahun di pusat jagaan kanak-kanak itu dan di sebuah premis di Kalumpang antara 18 Mac 2019 dan Mac 2026, mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.
Mahkamah membenarkan lelaki itu diikat jamin RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 10 Jun depan bagi sebutan semula kes.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairul Iqram Hairuddin dan Nadiah Malek Fauzie manakala Retna Velu tidak diwakili peguam dan Valan diwakili peguam Amalia Daud serta R Roshini.
Prosiding itu turut dihadiri peguam pemerhati bagi pihak pengadu dan Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor iaitu S Kirthen serta S Premila.
