Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengusaha bot laut dalam mohon subsidi diesel elak 'tutup kedai'

Pengusaha bot nelayan laut dalam kategori C2 hari ini meminta kerajaan memutuskan segera kadar bahan api untuk kegunaan mereka ketika harga bahan api tersebut terus meningkat.

Mereka mendakwa, harga jualan diesel yang melebihi RM7 seliter sedang memberi tekanan terhadap kos operasi yang memang tinggi ketika ini berbanding kategori A, B dan C.

Wakil pengusaha bot C2 dari Kelantan, Zarir Yaakob, berkata mereka membelanjakan lebih RM100,000 setiap kali turun ke laut.

"Pengusaha bot kelas A, B dan C dapat subsidi diesel... mereka bayar RM1.65 setiap liter, tapi kami tak dapat dan kena bayar RM7 lebih, namun tapi harga ikan dijual di jeti masih pada harga sama.

"Kami menggunakan lebih 5,000 liter diesel untuk keluar dua hari, maknanya kira-kira RM35,000 untuk kos bahan api saja.

"Itu belum ambil kira kos ais, makan minum awak-awak dan kos penyelenggaraan, jadi kami fikir kerajaan kena ambil perhatian perkara ini," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas bersama-sama 50 pengusaha bot C2 mengadakan demonstrasi aman dan menyerahkan memorandum kepada wakil kerajaan Pahang, Sim Chon Siang, berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dekat Kuantan, hari ini.

Sim merupakan Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang yang juga Adun Terumtum.

Bot kategori A merupakan sampan atau bot kecil yang diusahakan nelayan tempatan dan beroperasi di perairan antara 5 hingg 12 batu nautika, manakala kategori B melibatkan bot bersaiz sederhana menggunakan pukat tunda atau pukat jerut. Ia beroperasi melebihi 12 batu nautika.

Kategori C pula merujuk kepada bot yang lebih besar dan menggunakan pukat tunda atau pukat jerut dengan kawasan beroperasi melebihi 30 batu nautika. Bot C2 pula merupakan bot yang beroperasi di kawasan melebihi 30 batu nautika. Biasanya ia menggunakan awak-awak warga asing

Ditanya jika pengusaha bot C2 pernah menerima subsidi, Zarir menjelaskan pihaknya ada menerima insentif daripada kerajaan sebelum dihentikan pada 2019.

Sumber kewangan kukuh

Zarir memaklumkan, melalui sesi libat urus selepas penamatan insentif oleh kerajaan itu dilakukan, kumpulan pengusaha bot C2 dimasukkan dalam kategori industri.

"Kalau hanya disebabkan ada perkataan 'industri' itu, maka kami tak layak terima insentif dan subsidi, buang sajalah perkataan itu, bukan susah pun.

"Kita bukanlah nak minta harga diesel sampai RM1.65 seliter macam bot kategori lain, kalau boleh bagi RM2.50 seliter pun boleh dah bantu kami bernafas," katanya.

Tambah Zarir, terdapat beberapa pengusaha bot terpaksa 'berehat' kerana tidak lagi mampu menanggung kos operasi, sekali gus ia boleh mengganggu rantaian bekalan di pasaran.

"Kena fikir juga kesan apabila banyak bot C2 tak boleh keluar ke laut, sebab setiap tahun kami menyumbang hampir 170,000 tan metrik ikan untuk pasaran seluruh negara," tambahnya.

Sementara itu, Sim ketika ditemui selepas itu memberitahu, segala keluhan kumpulan pengusaha bot C2 akan disampaikan menerusi saluran yang tepat kepada kerajaan Persekutuan.

"Saya yakin kerajaan akan mendengar dan mempertimbangkan permintaan mereka, mungkin ada mekanisme boleh diperkenalkan bagi membantu kumpulan pengusaha ini," katanya.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, ketika sidang parlimen memaklumkan, nelayan laut dalam Zon C2 tidak layak mendapat diesel bersubsidi memandangkan mereka nelayan komersial yang lazimnya mempunyai kekuatan kewangan kukuh.

Pengerusi LKIM, Faiz Fadzil, sebelum ini dilaporkan mengakui masalah dihadapi kumpulan pengusaha bot berkenaan.

Katanya, ketika ini terdapat 733 bot nelayan kategori C2 beroperasi di seluruh negara melibatkan 9,598 nelayan dengan jumlah pendaratan ikan 168,511.8 tan metrik setahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS