Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Jangan hina intelek rakyat di tengah krisis global

Kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mendakwa tiada sebab kerajaan menaikkan harga minyak bukan sahaja malas, malah mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab dan terpisah daripada realiti ekonomi global semasa.

Pertama, menafikan kesan pergolakan geopolitik terhadap harga minyak dunia adalah satu bentuk penafian fakta dan pembohongan.

Ketegangan di Asia Barat termasuk risiko di laluan strategik Selat Hormuz memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan dan harga minyak global. 

Malaysia bukan entiti terasing, kita adalah ekonomi terbuka yang tetap menerima tempias turun naik pasaran dunia.

Kedua, hujah bahawa Malaysia sebagai pengeluar minyak boleh mengekalkan harga rendah secara mutlak adalah dangkal dan mengelirukan. 

Abdul Hadi Awang

Realitinya, harga bahan api domestik berkait rapat dengan harga pasaran global. Walaupun status sebagai negara pengeluar memberi kita sedikit kelebihan dari segi pendapatan royalti, harga di pam adalah hasil imbangan antara kos pasaran global dan kemampuan fiskal kerajaan. 

Menganggap ia boleh kekal rendah tanpa had tanpa memberi kesan kepada ekonomi makro adalah satu tanggapan yang mengelirukan. 

Tanpa pendekatan subsidi bersasar, kos yang ditanggung akan melambung tinggi sekali gus mengancam kestabilan fiskal negara. 

Juga harus diingatkan bahawa Malaysia bukan lagi "net exporter" sejak lebih sedekad yang lalu. Hari ini negara perlu mengimport minyak untuk memenuhi permintaan domestik.

Ketiga, tuduhan kononnya kenaikan harga berpunca daripada “kebocoran dan salah laku” hanyalah hujah malas yang tidak bersandar kepada fakta sebenar. 

Jika benar ada penyelewengan, buktikan. Sebaliknya, keupayaan kita kini mengekalkan harga minyak melalui program Budi adalah disebabkan oleh langkah penjimatan yang telah diambil melalui pengurusan kewangan yang berhemah dan tadbir urus yang cekap, dan memiliki daya tahan ekonomi yang lebih baik berbanding kebanyakan negara jiran di rantau ini.

Lebih memalukan, anggota parlimen Marang cuba memainkan naratif bahawa rakyat “dibodohkan” dan “dilemahkan”. 

Dunia berubah, cabaran makin kompleks 

Hakikatnya, kenyataan seperti ini dilihat menghina kebijaksanaan rakyat kerana rakyat hari ini celik maklumat, mampu menilai data, dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda sempit.

Sindiran terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula jelas tersasar dari konteks semasa, dengan memetik kenyataan tahun 2008 tanpa memahami perubahan besar dalam landskap ekonomi global hari ini.

Dunia berubah, cabaran semakin kompleks daripada inflasi global hingga konflik politik antarabangsa namun ada pihak masih enggan menerima realiti ekonomi semasa.

Apa yang hendak disembunyikan? Hakikatnya, majoriti besar rakyat masih menikmati bahan api bersubsidi dengan lonjakan kos dari RM700 juta sehingga dijangka hampir mencecah RM6 bilion sebulan. Fakta ini tidak wajar dilenyapkan dengan tohmahan dan telahan bahawa kerajaan tidak melakukan apa-apa.

Jelas ini merupakan komitmen besar kerajaan Madani bagi melindungi kebajikan dan kepentingan rakyat pada masa yang sama menjadi penampan kepada ekonomi domestik daripada kesan langsung kenaikan harga minyak global.

Dalam keadaan krisis global yang tidak menentu ini, kesannya bukan sahaja tertumpu kepada isu minyak semata-mata, malah turut mencetuskan kesan domino terhadap keseluruhan rantaian industri. 

Oleh itu, sentimen kebencian dan permusuhan politik wajar diketepikan, sebaliknya digantikan dengan pendekatan yang lebih matang dan konstruktif melalui cadangan bernilai tambah bagi menangani krisis ini dengan lebih berkesan.

Politik murahan yang bersandar kepada emosi, persepsi dan teori konspirasi tidak akan membawa negara ke hadapan.

Malaysia memerlukan kepimpinan yang berani berdepan realiti, jujur dengan fakta, dan tegas membuat keputusan demi masa depan rakyat.


MUHAMMAD KAMIL ABDUL MUNIM adalah setiausaha politik kepada Menteri Kewangan Anwar Ibrahim merangkap ketua Pemuda PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS