Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dana awam RM300 juta ‘lesap’: SPRM reman bekas CEO badan berkanun

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memperoleh perintah reman terhadap seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan dan seorang pengerusi syarikat, susulan siasatan skandal urus niaga saham yang didakwa menyebabkan kerugian dana awam mencecah RM300 juta.

Perintah reman selama empat hari sehingga 12 April itu dikeluarkan oleh Majistret Azeren Zakariah selepas permohonan dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Kedua-dua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40an dan 50an.

Menurut sumber SPRM, penahanan dibuat susulan siasatan terhadap transaksi penjualan saham kepada sebuah badan berkanun kerajaan yang berlaku antara 2022 hingga 2023.

"Siasatan awal mendapati urus niaga tersebut melibatkan penilaian harga yang tidak munasabah (overvaluation) dan tidak setimpal.

"Urus niaga ini dipercayai mengakibatkan kerugian besar kepada dana awam yang dianggarkan melebihi RM300 juta.

"Kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 6 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya," kata sumber tersebut kepada Malaysiakini.

Siasatan turut menjurus kepada kemungkinan penglibatan beberapa ahli lembaga pengarah serta pemegang saham syarikat berkaitan, yang dipercayai bersubahat dalam meluluskan dan melaksanakan transaksi tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM menjalankan serbuan di 13 lokasi sekitar Lembah Klang, melibatkan premis agensi kerajaan, syarikat berkepentingan awam dan kediaman individu yang dikenal pasti.

Pihak berkuasa juga telah membekukan 62 akaun bank, termasuk akaun individu dan syarikat, dengan jumlah keseluruhan dianggarkan sekitar RM450 juta.

Sementara itu, pengarah kanan BOK SPRM Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 mengenai kesalahan menerima dan memberi suapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS