Ketua Penerangan Pemuda PKR (AMK) Danish Hairudin menyifatkan perbandingan harga bahan api antara Malaysia dan Thailand yang dibangkitkan oleh Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh dan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari sebagai fakta "separuh masak".
Danish berkata tindakan mereka menunjukkan kegagalan kedua-dua pemimpin itu memahami struktur subsidi dan mekanisme harga yang dilaksanakan kerajaan.

"Jika benar mahu ikut kaedah Thailand maka rakyat perlu tahu implikasinya secara jujur.
“Mengikut formula Thailand bermakna tiada Budi95, tiada had 800 liter untuk e-hailing, tiada Fleet Card Diesel, dan tiada bantuan tunai Budi Madani Diesel RM300 kepada golongan yang layak.
"Inilah masalah bila bercakap tanpa fakta nampak seolah-olah mahu membela rakyat, tetapi hakikatnya cadangan yang dibawa akan menambah beban rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Danish, harga petrol di Thailand sebenarnya lebih mahal berbanding Malaysia, manakala harga diesel pula tidak mempunyai perbezaan yang ketara.
Mengulas mengenai harga minyak semasa, Danish menjelaskan Malaysia menggunakan Mekanisme Harga Automatik (APM) yang berdasarkan purata harga minggu sebelumnya.
Jelasnya, harga yang dibayar pengguna hari ini merupakan kos minyak yang dibeli ketika harga global melonjak tinggi sebelum ini, iaitu ketika petrol mencecah AS$150 setong dan diesel AS$250 setong.
"Jadi bila harga belum turun serta-merta, jangan terus menyalak seolah-olah kerajaan gagal.
"Jika harga global kekal rendah, dalam tempoh satu hingga dua minggu, penurunan itu akan dirasai rakyat. Itu fakta. Bukan persepsi," katanya lagi sambil menegaskan harga RON95 masih kekal pada RM1.99 seliter.

Danish turut menggesa pemimpin pembangkang dan blok kerajaan agar berhenti bermain politik murahan dalam isu yang menyentuh kehidupan harian rakyat tanpa memahami dasar negara.
Isu harga bahan api menjadi tumpuan susulan langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar dan mengurangkan ketirisan.
Terdahulu, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh senada dengan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berhubung cara kerajaan negara jiran, Thailand mengendalikan kenaikan kos sara hidup dan menurunkan harga barangan asas susulan kenaikan harga minyak akibat perang di Asia Barat.
Akmal dalam kenyataannya di media sosial, hari ini menarik perhatian mengenai tindakan kerajaan Thailand menyemak semula formula harga minyak yang membolehkan harga bahan api itu turun serta-merta apabila harga pasaran dunia merosot.
“Di Malaysia harga minyak kita terus meningkat akibat formula penentuan harga minyak Malaysia ditentukan oleh purata harga bagi minggu sebelumnya.
“Jadi mungkin kerajaan Malaysia boleh melihat semula formula yang digunakan oleh Thailand untuk menentukan harga minyak ataupun cari semula raja formula yang sebelum ini kata boleh turunkan minyak,” katanya.
Ini selepas semalam, Ahmad Fadhli yang juga adalah ahli parlimen Pasir Mas menyifatkan inisiatif kerajaan Thailand di bawah pimpinan Perdana Menteri Srettha Thavisin sebagai satu langkah yang "padu" melalui pelancaran kempen 'Thai Help Thai'.
Katanya, kempen tersebut menyaksikan Kementerian Perdagangan Thailand bekerjasama dengan pemain utama sektor peruncitan termasuk Lotus’s, Makro Thailand, Tops Market dan GO Wholesale bagi memotong harga lebih 3,000 barang keperluan asas.
