Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bapa penyerang balai dakwa darah polis, askar halal dibunuh'
Diterbitkan:  Apr 9, 2026 7:30 PM
Dikemaskini: 11:32 AM

Seorang penuntut universiti memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa bapa penyerang dalam insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor pernah mendakwa bahawa "darah polis, askar halal dibunuh”.

Muhamad Farhan Haiqim Mohd Isa, 24, berkata tertuduh pertama Radin Imran Radin Mohd Yassin, 64, memaklumkan perkara itu kepadanya semasa mereka direman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, Masai, Johor selepas insiden serangan pada Mei 2024.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi pada 17 Mei 2024, dua konstabel polis, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 40, cedera ditembak selepas diserang seorang lelaki dikenali sebagai Radin Luqman, 21, yang kemudian ditembak mati dalam insiden itu.

Muhamad Farhan yang merupakan saksi pendakwaan ketiga berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan semasa perbicaraan hari kedua kes lima anggota keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang berdepan sembilan pertuduhan berasingan berkaitan keganasan di hadapan Hakim Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor.

"Semasa kami berbual, pakcik itu tiba-tiba menangis. Saya tanya kenapa dan dia cakap anaknya (Radin Luqman) tidak mengajaknya untuk menyerang balai polis itu bersama-sama.

"Selain itu, pakcik itu juga cakap darah polis, askar dan institusi kerajaan halal dibunuh oleh mereka. Dia juga cakap dia tidak keluar rumah, jika keluar rumah dia ada tanggungjawab berjihad untuk menyebarkan fahaman atau ajarannya," kata saksi itu.

Semasa prosiding hari ini, Muhamad Farhan turut melakukan pengecaman terhadap Radin Imran serta tertuduh kedua, Radin Romyullah yang berada di kandang tertuduh.

Muhamad Farhan berkata semasa mereka ditahan di lokap sama, Radin Imran juga mendedahkan hasrat untuk membunuh abang kandungnya sendiri kerana lelaki itu sudah tidak mahu mengikuti ajarannya.

Terdahulu, mengimbas kembali kejadian pada 1 pagi, 17 Mei 2024 itu, Muhamad Farhan yang juga pelatih industri berkata beliau berada di balai tersebut bersama bekas teman wanitanya bagi membuat laporan berkaitan gangguan seksual.

"Ketika saya sedang berbual dengan seorang lagi anggota (Ahmad Azza Fahmi) di luar bangunan balai, tiba-tiba seorang lelaki tidak dikenali berpakaian serba hitam dan bertopeng memasuki kawasan balai dengan menaiki motosikal.

"Lelaki itu meletakkan motosikalnya di sebelah kanan kawasan balai. Tidak lama kemudian, anggota polis yang bersama saya pergi memeriksa lelaki berkenaan sebelum saya terdengar jeritan kuat kira-kira 15 minit selepas itu. Saya kemudian bergegas masuk ke dalam balai untuk memanggil bantuan sebelum saya dan bekas teman wanita bersembunyi di bawah meja kerana keadaan bahaya," katanya.

Beliau memberitahu beberapa minit kemudian dia terdengar beberapa das tembakan dilepaskan sebelum menghubungi talian kecemasan 999.

"Selepas itu keadaan menjadi sunyi sebelum ambulans tiba di lokasi. Saya dan bekas teman wanita kemudian dibawa keluar ke seberang penyajak di hadapan balai. Masa itu keadaan gelap dan sunyi, saya takut dan keliru kerana tidak tahu apa sebenarnya berlaku," katanya.

Muhamad Farhan berkata dia kemudian dihubungi polis sebelum dibawa ke Balai Polis Seri Alam untuk dirakam keterangan dan ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Mengikut pertuduhan, ibu Radin Luqman, Rosna Jantan, 61, didakwa atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei 2024.

Sementara, bapanya Radin Imran berdepan empat pertuduhan menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan dan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan pengganas.

Abang Radin Luqman, Radin Romyullah, 36, pula didakwa atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh, manakala dua anak perempuan Radin Imran, iaitu Farhah Sobrina, 25, dan Mariah, 20, berdepan pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan.

Perbicaraan bersambung esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS