mk-logo
Berita
Ketua Polis KL jumpa wartawan, minta maaf insiden padam gambar - CiJA
Diterbitkan:  Apr 9, 2026 8:26 PM
Dikemaskini: 12:26 PM

Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) memaklumkan hubungan antara media dan polis Kuala Lumpur kini berada pada tahap lebih harmoni susulan penyelesaian satu insiden melibatkan tiga wartawan ketika membuat liputan rusuhan di Taman Shamelin, Cheras, pada 6 April lalu.

CiJA merakamkan penghargaan kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, atas tindakan pantas menangani isu tersebut.

Insiden itu melibatkan tiga wartawan — Ng Leng Choo (China Press), Cheng Yoon Seng (Oriental Daily) dan Lian Jin Kiat (Sin Chew Daily) — yang diarahkan memadam rakaman oleh dua individu dipercayai anggota polis ketika menjalankan tugas di lapangan.

"Susulan itu, satu pertemuan mesra dan santai antara Presiden CiJA bersama dua daripada wartawan terbabit telah diadakan dengan Datuk Fadil Marsus di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, petang (semalam).

"Dalam pertemuan tersebut, beliau menyatakan permohonan maaf atas insiden berkenaan selain menegaskan komitmen bagi memastikan perkara sama tidak berulang," kata CiJA pada satu kenyataan.

Menurut persatuan wartawan itu, Fadil dalam pertemuan itu turut menekankan kepentingan hubungan erat antara polis dan media dalam semangat “polis dan media berpisah tiada.”

"Beliau juga menyarankan agar wartawan yang menghadapi kesulitan ketika membuat liputan berkaitan kes yang ditangani Polis Kuala Lumpur supaya menghubungi beliau secara terus bagi memastikan sebarang isu dapat ditangani dengan segera.

"Datuk Fadil memahami bahawa tugas membuat liputan di lapangan adalah penting bagi wartawan meja jenayah dalam menyampaikan maklumat dan situasi sebenar kepada masyarakat.

"Sehubungan itu, ketiga-tiga wartawan yang terlibat turut merakamkan penghargaan kepada beliau kerana sudi mendengar keluh-kesah selain berharap insiden sama tidak berulang," kata CiJA lagi.

Sehubungan itu, CiJA memaklumkan pihaknya mengambil pendirian bahawa insiden tersebut telah diselesaikan secara harmoni dan terbuka tanpa menyalahkan mana-mana pihak.

CiJA turut menghargai usaha Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) atas sokongan dalam mempertahankan hak dan kebajikan pengamal media.

Persatuan itu berharap kerjasama antara organisasi media dapat diteruskan bagi memperkukuh solidariti dalam kalangan wartawan pada masa depan.

Sebelum ini, akhbar Sin Chew melaporkan tiga wartawan yang membuat liputan susulan insiden rusuhan berkenaan diarahkan memadam gambar yang dirakam ketika bertugas.

Kejadian itu berlaku apabila seorang wartawan wanita dihampiri dua anggota polis berpakaian preman yang memeriksa telefon bimbitnya sebelum membawanya ke dalam premis berkenaan untuk disoal siasat berkaitan rakaman ketika pasukan forensik menjalankan tugas.

Wartawan tersebut hanya dibebaskan selepas diarahkan memadam semua foto dan video yang dirakam di lokasi kejadian.

Dalam perkembangan sama, seorang pegawai penyiasat (IO) turut didakwa meminta dua lagi wartawan memadam bahan rakaman mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS