Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Malaysia perlu berani keluar dari penjajahan naratif Barat

Dunia menarik nafas lega dengan berita gencatan selama dua minggu. Iran bersetuju membuka semula Selat Hormuz. Trump bersetuju menghentikan pengeboman. Tetapi di sebalik tajuk berita yang mengumumkan "keamanan," adakah ini benar-benar damai atau adakah ini hanya gencatan yang menyarung pakaian diplomatik? 

Persoalan ini bukan sahaja penting untuk difahami tetapi ia juga menuntut kita melihat bagaimana media Malaysia melaporkannya. Baru-baru ini Pengarah Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Profesor Ahmad Murad Merican menegaskan bahawa media Malaysia mesti berani mencabar naratif Barat dan melaporkan daripada perspektif tempatan dengan konteks sejarah yang lengkap. 

Beliau berkata media selama ini terlalu pasif mengamalkan kerangka dominan Barat, yang terus membentuk cara kita memahami peristiwa global. 

"Apa yang kita perlukan, sebagai sebuah negara yang kononnya bebas, adalah mentakrifkan istilah untuk diri kita sendiri. Itulah penentuan nasib sendiri," katanya selepas berucap di forum 'Perang Amerika-Israel ke atas Iran: Kembalinya Kolonialisme dan Masa Depan Tamadun' di IIUM. 

Apa yang beliau sampaikan bukan sekadar kritikan akademik, lebih mendalam lagi adalah seruan untuk revolusi naratif di bumi Malaysia sendiri.

Apabila kita membaca berita tentang "gencatan senjata" antara Donald Trump dan Iran, sebenarnya kita sedang membaca sebuah cerita yang ditulis oleh Barat. 

Dalam naratif itu, siapa yang bercakap? Trump mengumumkan. Iran bersetuju. Perhatikan kata kerja ini: satu aktif, satu pasif. Satu mengawal cerita, satu hanya bertindak balas. 

Profesor Murad sedang mengingatkan kita bahawa naratif selama ini dikawal oleh "si pencerita" Barat, dan media Malaysia selama ini hanya menjadi pendengar, bukan pencerita.

Akibatnya, hero dalam cerita ini sentiasa pihak Barat atau Israel manakala musuh sentiasa pihak yang dilawan seperti Iran atau Hizbullah dan mangsa lain sama ada tidak kelihatan atau hanya disebut sepintas lalu. 

Apabila media Malaysia hanya mengulang naratif ini tanpa cabaran, Malaysia secara tidak sedar menjadi tukang siar untuk naratif penjajahan baharu. Inilah yang beliau maksudkan dengan "kebebasan intelektual", yang Malaysia perlu berani membina plot cerita sendiri, sebuah naratif yang berpusatkan pengalaman dan sejarah kita bukan yang diimport dari Washington atau London.

Tanda dan makna tersembunyi

Daripada perspektif semiotik iaitu kajian tentang tanda dan makna tersembunyi di sebalik perkataan, Profesor Murad juga menyentuh sesuatu yang sangat mendalam. Beliau berkata bahawa istilah geografi yang kita gunakan setiap hari seperti "Timur Tengah," sebenarnya mencerminkan lensa berpusatkan Barat. "Timur Tengah" adalah nama yang diberikan dari Eropah, dengan Barat sebagai pusat dan "Timur" sebagai pinggiran. 

Apabila media Malaysia menggunakan istilah-istilah ini tanpa kritik, kita secara tidak langsung menerima pandangan dunia Barat bahawa wilayah itu huru-hara dan perlu "diamankan" oleh kuasa besar. 

Begitu juga dengan "Selat Hormuz" — ia sering disebut sebagai “choke point" atau “titik sempit” minyak dunia bukan sebagai perairan berdaulat Iran yang menjadi rumah kepada nelayan dan masyarakat yang hidup di pesisirnya selama ribuan tahun. 

Tanpa kuasa untuk mentakrifkan semula tanda-tanda ini, Malaysia akan terus menggunakan senjata semiotik musuh untuk memahami dunianya sendiri. Profesor Murad menyeru agar kita mentakrifkan istilah untuk diri kita sendiri. Sebuah negara yang bebas harus berkuasa ke atas tanda-tanda yang digunakannya. Contohnya, "militan" boleh ditakrifkan semula sebagai pejuang kemerdekaan, "gencatan senjata" sebagai jeda taktikal sebelum keganasan bersambung, dan "perang ke atas keganasan" sebagai perang ke atas negara-negara yang enggan tunduk kepada hegemoni Barat.

Kembali kepada analisis kita tentang gencatan senjata Trump-Iran, kita dapat melihat dengan jelas mengapa seruan Profesor Murad ini sangat mendesak. Dalam naratif arus perdana, gencatan dua minggu itu digambarkan sebagai kejayaan diplomasi. Tetapi apabila kita membaca dari perspektif Malaysia — sebuah negara yang pernah dijajah, yang memahami apa erti ancaman dan ketaatan — ceritanya tentu sangat berbeza. 

Apa yang dirisaukan ialah sekiranya gencatan senjata ini hanyalah taktikal Barat dan sengaja berada di meja rundingan untuk kemudian menolak atas alasan syarat keterluan dan tidak dapat diterima, Iran dilihat sebagai anti-keamanan. 

Oleh itu, gencatan senjata ini juga mungkin hanyalah jeda untuk Amerika mengisi semula peluru berpandu cruise yang habis digunakan, mengukuhkan sistem pertahanan udara Patriot dan Thaad dan mengumpul risikan untuk menyasarkan lokasi-lokasi baru Iran seperti di pusat nuklear Iran. Perkara ini pernah berlaku semasa gencatan senjata antara Israel dan Hamas.

Pentagon telah pun mengerahkan kumpulan penyerang ketiga yang diketuai oleh kapal pengangkut pesawat USS George HW Bush, bersama kapal serangan amfibi USS Boxer yang membawa ribuan marin. Ribuan lagi askar dari Divisyen Udara Ke-82 sedang dalam perjalanan ke Timur Tengah. 

Amerika tidak akan berehat

Dalam masa dua minggu ini, Amerika tidak akan berehat. Ia akan bersiap sedia untuk peperangan yang lebih dahsyat. Iran pula sedang membersihkan pintu masuk ke "bandar bawah tanah" yang menyimpan ribuan peluru berpandu yang rosak akibat pengeboman Amerika dan mengagihkan semula senjata-senjata ini ke lokasi lain. 

Saya berharap ia tidak berlaku tetapi pastinya kedua-dua pihak sedang mengumpul kekuatan. Ini bukan keamanan. Ini adalah nafas untuk berperang semula.

Apa yang paling menyedihkan, Lubnan dikecualikan daripada perjanjian ini. Apabila Pakistan sebagai perunding mengumumkan bahawa gencatan senjata ini merangkumi Lubnan, Trump dengan tegas menafikannya. 

"Mereka tidak termasuk dalam perjanjian ini," kata Trump, "kerana isu mengenai Hizbullah... itu akan diselesaikan secara berasingan." 

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu juga menegaskan bahawa Lubnan tidak termasuk dalam gencatan senjata. 

Apa yang berlaku selepas itu? Israel melancarkan serangan udara paling besar dalam lebih sebulan — 160 bom dalam masa 10 minit, menyasarkan lebih 100 lokasi Hizbullah di Beirut, selatan Lubnan dan Lembah Bekaa. Sekurang-kurangnya 89 orang terbuluh dan 700 cedera dalam satu hari. Dunia mengumumkan "gencatan senjata," tetapi Lubnan terus dibakar. 

Inilah yang dimaksudkan oleh Profesor Murad apabila beliau berkata media mesti melaporkan dengan konteks sejarah. Tanpa konteks, kita akan percaya bahawa "gencatan senjata" bermaksud keganasan berhenti untuk semua. Tetapi dengan konteks, kita tahu bahawa ia hanya berhenti untuk mereka yang mempunyai kuasa untuk menuntutnya. Lubnan, seperti Palestin sebelum ini akan terus menjadi mangsa.

Kebimbangan lain yang tidak dilaporkan oleh media arus perdana adalah tentang kemudahan nuklear Iran. Trump mengumumkan secara terbuka bahawa Amerika Syarikat akan "bekerja dengan Iran untuk menggali dan mengeluarkan semua debu nuklear yang tertanam dalam" menggunakan pengebom B-2. 

Beliau juga menegaskan bahawa "tidak akan ada pengayaan uranium" dan tapak-tapak nuklear Iran kekal bawah "pengawasan satelit yang ketat". Menteri Pertahanan AS Pete Hegseth pula menyatakan bahawa "sebarang bahan nuklear yang mereka ada akan dikeluarkan." 

Ini menimbulkan persoalan serius: apakah gencatan senjata ini memberi ruang kepada AS untuk menembusi kemudahan nuklear Iran sama ada melalui "pemeriksaan bersama" atau operasi rahsia untuk merampas atau memusnahkan bahan-bahan tersebut? 

Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Grossi juga menetapkan syarat bahawa pemeriksa IAEA mesti diberi akses ke kemudahan nuklear Iran yang rosak sebelum sebarang perjanjian dimuktamadkan. Iran, yang mengesyaki bahawa maklumat yang dikongsi dengan IAEA sebelum ini digunakan untuk menyasarkan kemudahan nuklearnya, pastinya akan curiga. 

Keamanan atau penyerahan kedaulatan?

Oleh itu daripada perspektif Malaysia, kita boleh bertanya: jika sebuah negara besar mengancam untuk memusnahkan kita, kemudian "memberi" kita gencatan senjata dengan syarat kita membuka pintu kepada pemeriksa asing, adakah itu keamanan atau penyerahan kedaulatan?

Profesor Murad mengingatkan kita bahawa apa yang diperlukan adalah self-determination — penentuan nasib sendiri. Ini bermakna media Malaysia mesti berani menafsirkan semula dunia dengan suaranya sendiri. 

Sebuah laporan yang benar-benar bebas tidak akan menulis: "Trump mengumumkan gencatan senjata, Iran bersetuju." Sebaliknya, ia akan menulis: "Di tengah ancaman pemusnahan tamadun, Iran membuka Selat Hormuz demi kelangsungan hidup rakyatnya.

Sementara itu, Lubnan terus dibedil dan dunia menarik nafas lega tetapi untuk siapa?" Ini bukan sekadar permainan kata. Ini adalah perjuangan untuk menentukan realiti itu sendiri. 

Apabila Barat memanggil pengeboman sebagai "ketepatan tinggi," mereka menyembunyikan kematian kanak-kanak. Apabila mereka memanggil ancaman pemusnahan tamadun sebagai "diplomasi," mereka menormalisasikan kegilaan kuasa. Oleh itu apabila media Malaysia mengulang kata-kata ini tanpa bertanya, kita menjadi sebahagian daripada mesin normalisasi tersebut.

Seruan Profesor Murad datang pada waktu yang sangat kritikal. Dunia sedang menyaksikan perang ke atas Iran dan Lubnan tetapi media Malaysia sebahagian besarnya masih bergantung kepada agensi berita Barat. 

Kita membaca tentang "gencatan senjata" seolah-olah ia adalah berita baik, tanpa bertanya: baik untuk siapa? Kita membaca tentang "Iran menurut" seolah-olah itu adalah kekalahan yang wajar, tanpa memahami tekanan yang dihadapi oleh sebuah tamadun yang diugut untuk dihapuskan dalam 24 jam. 

Kita membaca tentang Lubnan sebagai "kesan sampingan," tanpa menyedari bahawa setiap bunyi bom di Beirut adalah bunyi kegagalan naratif kita sendiri. Sebagai sebuah negara yang pernah dijajah, Malaysia seharusnya lebih peka terhadap bahasa kuasa. 

Kita tahu apa rasanya diberitahu apa yang baik untuk kita. Kita tahu apa rasanya dipaksa menerima definisi orang lain tentang "keamanan" dan "kestabilan," dan kita tahu bahawa satu-satunya jalan keluar daripada penjajahan naratif adalah dengan berani menulis cerita kita sendiri.

Bukan kerja mudah

Akhirnya, apa yang Profesor Murad tawarkan bukanlah sekadar kritik terhadap media lebih jauh lagi adalah satu kemungkinan baharu. Beliau membayangkan sebuah Malaysia yang wartawan tidak lagi bertanya "Apa kata Washington?" tetapi "Apa kata mangsa di Lubnan?" 

Beliau membayangkan sebuah Malaysia di mana istilah "Timur Tengah" digantikan dengan nama-nama yang diiktiraf oleh penduduknya sendiri. Beliau membayangkan sebuah Malaysia di mana "gencatan senjata" tidak lagi disambut dengan lega tetapi diteliti dengan curiga: apa syaratnya, siapa yang masih mati, dan mengapa kita dipanggil untuk bersyukur atas ketiadaan keganasan sementara keganasan itu hanya bertukar lokasi. Ini bukan kerja mudah. 

Menentang naratif Barat bermakna menentang aliran wang, aliran kuasa dan aliran kebiasaan. Beratus-ratus tahun penjajahan mengajar dunia bahawa satu-satunya cerita yang sah adalah cerita yang keluar dari London, Paris dan Washington. Tetapi Profesor Murad mengingatkan kita bahawa kebebasan sebenar bermula apabila kita berani mentakrifkan istilah untuk diri kita sendiri. Itulah penentuan nasib sendiri. Itulah harga sebuah negara yang benar-benar merdeka. 

Dunia menarik nafas lega dengan berita gencatan selama dua minggu. Tetapi di Lubnan, darah masih mengalir. Di Iran, rakyat masih terdedah kepada ancaman dan di Malaysia, seorang profesor bertanya: bilakah kita akan berhenti menjadi pendengar dan mula menjadi pencerita? Bilakah kita akan berani menamakan semula dunia dengan suara kita sendiri?


ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS