Iran pada Jumaat menafikan melancarkan sebarang peluru berpandu atau dron ke arah negara-negara Teluk sejak gencatan senjata berkuat kuasa, sekali gus menolak laporan media mengenai serangan ke atas kemudahan di beberapa negara di rantau itu, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita Fars, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) berkata angkatan bersenjata Iran “tidak melancarkan apa-apa ke arah mana-mana negara” sepanjang tempoh gencatan senjata itu.
“Angkatan bersenjata Republik Islam Iran tidak melancarkan sebarang serangan ke arah mana-mana negara sepanjang tempoh gencatan senjata setakat ini,” menurut kenyataan itu.
IRGC berkata jika laporan berkenaan benar, ia adalah perbuatan pihak yang disifatkannya sebagai “musuh Zionis” atau Amerika Syarikat (AS).
Iran akan mengumumkan secara terbuka sebarang serangan yang dilancarkan oleh pasukannya, menurut IRGC.
Ia menegaskan sebarang serangan yang dilaksanakan oleh angkatan Iran akan diumumkan secara rasmi, manakala sebarang tindakan yang tidak diumumkan oleh Tehran tidak mempunyai kaitan dengan Iran.
“Sebarang tindakan yang tidak terkandung dalam kenyataan rasmi Republik Islam Iran tidak ada kaitan dengan kami,” menurut kenyataan itu.
AS dan Iran pada Selasa mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu yang diusahakan Pakistan, sebagai langkah ke arah kemungkinan perjanjian lebih luas bagi menghentikan konflik yang dicetuskan Washington dan Tel Aviv terhadap Tehran pada 28 Feb.
Sementara Islamabad dan Tehran menyatakan bahawa gencatan senjata itu turut meliputi Lubnan, Washington dan Tel Aviv menafikannya.
- Bernama-Anadolu
