Menteri Pertahanan Pakistan Khawaja Asif pada Khamis mengkritik sekeras-kerasnya rejim Zionis Israel, menuduhnya melakukan serangan ke atas orang awam di seluruh rantau itu ketika rundingan damai sedang dijalankan di Islamabad.
“Israel kejam dan membawa malang kepada kemanusiaan, ketika rundingan damai dijalankan di Islamabad, genosid sedang dilakukan di Lubnan,” kata Asif dalam catatan di X pada Khamis.
“Rakyat yang tidak bersalah sedang dibunuh oleh Israel, mula-mula Gaza, kemudian Iran dan kini Lubnan, pertumpahan darah berterusan tanpa henti,” tambahnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada Khamis menuntut permusuhan perlu dihentikan serta-merta dan undang-undang antarabangsa mesti dihormati.
“Saya dengan tegas mengutuk serangan besar-besaran oleh Israel di seluruh Lubnan pada 8 April yang mengakibatkan ratusan orang awam terbunuh dan cedera, termasuk kanak-kanak,” katanya.

Serangan Israel ke atas selatan Lubnan membunuh 24 orang dalam tempoh 24 jam yang lalu, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan pada Khamis dan melanda sekurang-kurangnya 52 bandar dan kawasan di seluruh selatan negara itu, lapor media tempatan.
Pelanggaran itu berlaku susulan tentera Israel meneruskan serangan meluas ke atas Lubnan sejak Rabu, membunuh lebih 303 orang dan mencederakan 1,150 yang lain, menurut Pertahanan Awam Lubnan.
Serangan masih berlaku meskipun gencatan senjata selama dua minggu diumumkan pada Selasa oleh Amerika Syarikat (AS) dan Iran, dengan Pakistan sebagai pengantara.
Gencatan senjata itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mencapai persetujuan yang lebih luas bagi menghentikan konflik yang dilancarkan oleh Washington dan Tel Aviv terhadap Tehran pada 28 Feb yang telah menyebabkan ribuan terbunuh dan cedera.
Walaupun menurut Islamabad dan Tehran gencatan senjata berkenaan meliputi Lubnan, Washington dan Tel Aviv menafikan perkara itu.
Pegawai Iran dan AS bersedia untuk memulakan rundingan di Islamabad pada Sabtu bagi mencapai perjanjian damai.
- Bernama
