Kerajaan akan berusaha mempertahankan harga minyak bagi program subsidi petrol Budi Madani RON95 (Budi95) yang kini pada kadar RM1.99 seliter bagi mengurangkan beban rakyat berhadap kesan konflik Asia Barat ketika ini.
"Ada isu dibangkitkan apakah boleh bertahan (harga) RON95.
“Setakat ini kita berusaha untuk pertahankan harga RON95 ini,” kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar mengakui kerajaan berdepan dengan tekanan kewangan bagi mempertahankan harga Budi95, namun ia penting diteruskan bagi mengurangkan bebanan rakyat.
"Setakat ini kita rasa RON95 walaupun dari segi tekanan kewangan sedikit membebankan kerajaan tapi saya ingat penting untuk kita kurangkan bebanan kepada rakyat," katanya ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurussaadah, Cheras Baru, Ampang hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.
Anwar berkata, selain kerajaan semua pihak memiliki tanggungjawab untuk menyelamatkan ekonomi negara.
Oleh itu katanya, kerajaan akan mengambil langkah yang tidak membebankan rakyat bagi menghadapi situasi sukar ketika ini.
Mengulas mengenai isu diesel, Anwar berkata kerajaan akan meneruskan program subsidi diesel dan akan turut meneliti kaedah bagi menangani kumpulan yang terkesan akibat kenaikan harga diesel ketika ini.
Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia terus melonjak meskipun harga minyak global turun, mencecah rekod tertinggi baru iaitu RM6.72 seliter untuk tempoh 9 April hingga 15 April.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata kenaikan 70 sen itu adalah kerana harga pam di negara ini ditentukan berdasarkan harga purata petrol dan diesel dari minggu sebelumnya, bukannya harga harian semasa.
Kementerian Kewangan juga mengumumkan bahawa di bawah Mekanisme Penetapan Harga Automatik, harga runcit petrol RON97 akan dinaikkan sebanyak 40 sen kepada RM5.35 seliter, manakala harga runcit petrol RON95 akan dinaikkan sebanyak 40 sen RM4.27 seliter.
Selain itu, Putrajaya mengekalkan harga subsidi bahan api yang disasarkan untuk rakyat dan mereka yang berada dalam sektor tertentu, dengan RON95 berharga RM1.99 seliter di bawah skim subsidi Budi95 dan diesel bersubsidi pada RM2.15 seliter untuk pengguna yang layak di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Sementara itu, Anwar turut mengesahkan enam daripada tujuh kapal Malaysia yang membawa bekalan minyak mentah sudah belayar melepasi Selat Hormuz.
Bagaimanapun katanya sebuah kapal mengalami kerosakan dan tersadai di pelabuhan buat masa ini.
Perkembangan itu dimaklumkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.
"Alhamdulillah semua dah berlepas, satu hampir tiba, cuma satu kapal kita mengalami kerosakan yang tersadai di pelabuhan.
"Insya Allah bekalan minyak untuk bulan April dan Mei...nampak masih dalam keadaan baik," ujarnya.
Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri (PMO) kemudian membuat pembetulan bahawa sebuah kapal sudah keluar dan enam lagi sudah mendapat kelulusan dan menunggu giliran untuk keluar.
