Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menuduh Iran gagal menguruskan laluan minyak di Selat Hormuz serta melanggar syarat perjanjian gencatan senjata selama dua minggu antara kedua-dua negara.
Dalam beberapa hantaran di media sosial, Trump turut memberi amaran kepada Iran supaya tidak mengenakan bayaran ke atas kapal yang melalui laluan air strategik itu.
“Iran melakukan kerja yang sangat buruk, malah boleh dianggap tidak berintegriti, dalam membenarkan minyak melalui Selat Hormuz,” kata Trump di platform Truth Social miliknya.
“Itu bukan perjanjian yang kita capai!” katanya.

Menurut data penjejakan maritim, hanya 10 kapal dilaporkan melalui selat sepanjang 167 kilometer itu sejak gencatan senjata di Timur Tengah berkuat kuasa, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan perjanjian tersebut.
Ketegangan turut meningkat selepas timbul laporan bahawa Iran bercadang mengenakan bayaran kepada kapal tangki yang melalui selat berkenaan.
“Terdapat laporan bahawa Iran mengenakan bayaran kepada kapal tangki yang melalui Selat Hormuz — mereka sepatutnya tidak berbuat demikian, dan jika benar, mereka perlu menghentikannya segera” kata Trump memberikan amaran.
Nada Trump dilihat berubah berbanding kenyataan terdahulu apabila dia menyatakan keyakinan terhadap usaha perjanjian damai berkenaan, selain memaklumkan bahawa Israel sedang mengurangkan serangan di Lubnan dan pemimpin Iran dilihat lebih rasional.
Namun dia memberi amaran jika tiada perjanjian dicapai, keadaan akan menjadi sangat buruk.
Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden JD Vance dijadual mengadakan rundingan dengan Iran di Islamabad, Pakistan pada Sabtu ini, bersama utusan khas Steve Witkoff dan Jared Kushner.
Rumah Putih menyatakan Presiden optimis satu perjanjian boleh dicapai yang mampu membawa kepada keamanan berkekalan di Timur Tengah.
