Sempena perayaan Songkran, Thailand melaksanakan pengecualian bayaran tol dan beberapa langkah perjalanan lain bagi mengurangkan kos serta memperkukuh aspek keselamatan, sementara Perdana Menteri Anutin Charnvirakul menggesa orang ramai supaya mengelakkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
Jurucakap kerajaan Ratchada Thanadirek berkata Kementerian Pengangkutan mengumumkan pengecualian sementara bayaran tol di beberapa lebuh raya ekspres bagi meringankan beban kewangan pengguna jalan raya dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Songkran merupakan tempoh kemuncak perjalanan apabila ramai rakyat Thailand pulang ke kampung halaman untuk bertemu keluarga, namun kenaikan harga bahan api telah meningkatkan kos perjalanan sehingga mendorong sebahagian mereka mengubah rancangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Lebuh Raya Burapha Withi dan Lebuh Raya Kanchanaphisek (Bang Phli-Suksawat) akan dikecualikan bayaran tol dari 10 hingga 16 April, manakala Lebuh Raya Udon Ratthaya, Si Rat dan Chalerm Maha Nakhon pula akan dikecualikan bayaran tol dari 13 hingga 15 April.
Pengguna jalan raya juga boleh menggunakan lebuh raya utama secara percuma selama tujuh hari dari 10 hingga 16 April.
Ia termasuk laluan M7 yang menghubungkan Bangkok, Chonburi, Pattaya dan Map Ta Phut, M9 iaitu Jalan Lingkaran Luar Bangkok, serta laluan M81 Bang Yai-Kanchanaburi.
“Langkah ini mencerminkan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kos perjalanan dan memastikan keselamatan awam, supaya Songkran kekal sebagai perayaan yang menggembirakan untuk semua,” katanya.

Ratchada berkata Anutin, yang juga Menteri Dalam Negeri menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya memandangkan ramai sudah mula pulang ke kampung halaman masing-masing bagi musim perayaan itu.
“Beliau mengulangi mesej ‘Jangan memandu dalam keadaan mabuk’ serta mengarahkan semua agensi berkaitan supaya memudahkan perjalanan dan memastikan keselamatan awam pada tahap maksimum,” katanya.
Songkran, Tahun Baharu tradisional Thailand, disambut dari 13 hingga 15 April dan diraikan dengan pertemuan keluarga, memberi penghormatan kepada warga emas serta nenek moyang, selain upacara membersihkan patung Buddha.
Perayaan yang diiktiraf UNESCO itu juga merupakan antara tarikan utama dalam kalendar pelancongan, menarik pengunjung dari seluruh dunia untuk menyertai sambutan yang meriah, sekali gus menonjolkan budaya serta warisan tempatan.
- Bernama
