Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kumpulan anti-Rafizi serah memo gesa berundur dari dunia politik

Sekumpulan individu hari ini mengadakan protes di hadapan pejabat Invoke Solutions Sdn Bhd dan menyerahkan memorandum bagi menggesa Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berundur dari dunia politik.

Kira-kira 10 peserta perhimpunan diketuai aktivis politik Faizan Mohd Nor mula berkumpul di hadapan ibu pejabat bekas menteri ekonomi itu sekitar jam 3 petang tadi.

Tiga isu utama yang diketengahkan dalam memorandum tersebut adalah kegagalan Rafizi sebagai menteri ekonomi, dakwaan kegagalan menunaikan janji-janji manifesto Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU15) serta dakwaan kegagalan pelaksanaan projek mesin layan diri dan Sistem Pangkalan Data Utama (Padu).

"Sudah tiba masanya Rafizi menghentikan sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh mengganggu kestabilan negara, khususnya demi kepentingan politik peribadi,” kata Faizan yang menyerahkan memorandum berkenaan kepada wakil Rafizi di hadapan pejabat Invoke Solution di Kuala Lumpur.

Mereka turut membawa plakad yang antaranya berbunyi "Rafizi kaki kencing rakyat", "SPRM siasat vending machine Rafizi" dan "Rafizi gila kuasa".

Sementara itu, pengasas PKR Ng Lum Yong yang turut hadir menggesa Rafizi mengambil pendekatan lebih tenang dalam mengeluarkan kenyataan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Menurutnya, kenyataan yang agresif boleh memberi mesej tidak baik serta mengelirukan rakyat.

“Kita minta Rafizi supaya tenang dan tidak mengeluarkan kenyataan yang agresif kerana ia akan memberi mesej tidak baik kepada rakyat.

“Saya lihat kenyataan beliau lebih kepada kepentingan peribadi, bukan untuk menyelamatkan negara,” katanya.

Ng turut berpandangan bahawa sebarang ketidakpuasan hati terhadap kerajaan sepatutnya disalurkan melalui perbincangan secara bersemuka.

“Kalau tidak puas hati dengan apa yang dilakukan kerajaan, lebih baik berjumpa pihak terlibat termasuk Perdana Menteri dan memberikan solusi. Itu lebih baik,” katanya.

Ng berkata negara ini mengamalkan sistem demokrasi yang membenarkan pelbagai pandangan disuarakan, namun menegaskan ia perlu dilakukan secara berhemah.

“Kita sebuah parti dan negara demokrasi, sesiapa pun bebas memberi pandangan. Tetapi ia tidak sepatutnya keterlaluan sehingga memberi imej tidak baik kepada negara,” katanya.

Rafizi kebelakangan ini dilihat semakin lantang mengkritik PKR selepas tewas dalam pemilihan jawatan timbalan presiden tahun lalu kepada anak perempuan Anwar Ibrahim, Nurul Izzah.

Dia menjadi pengkritik tegar Anwar dalam pelbagai isu termasuk dakwaan rasuah melibatkan individu yang rapat dengan presiden PKR itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS