Percikan air, gema muzik dan tawa ribuan pengunjung memenuhi ruang sebuah pusat beli-belah di Damansara hari ini — membuka tirai festival Songkran terbesar di Malaysia.
Menteri Digital Gobind Singh Deo yang merasmikan keramaian itu berkata Songkran bukan sekadar pesta biasa tetapi jambatan halus diplomasi budaya antara Malaysia dan Thailand.
Dia mengingatkan bahawa hubungan antara dua negara jiran itu tidak hanya tertulis di atas kertas, tetapi hidup dalam pengalaman rakyat.
"Hubungan kita dengan Thailand merupakan contoh terbaik semangat ini.

"Sejak beberapa generasi, rakyat kita bergerak merentasi sempadan. Terutamanya di utara Semenanjung, hubungan ini bukan sekadar termaktub dalam perjanjian — tetapi dihayati setiap hari secara semula jadi.
"Ikatan sebegini tidak boleh diwujudkan secara paksa. Ia berkembang dari masa ke masa melalui kepercayaan, rasa hormat dan pengalaman bersama. Inilah cerminan diplomasi budaya," katanya yang juga ahli parlimen Damansara ketika berucap merasmikan festival itu.
Menurut Gobind, hubungan erat itu turut mendorong peningkatan dalam perdagangan, pelancongan dan pelaburan antara Malaysia dan Thailand.
“Hubungan perdagangan antara kedua-dua negara terus meningkat terutamannya dalam sektor pelancongan,” katanya.

Songkran, perayaan tahun baru tradisional Thailand yang disambut dari 13 hingga 15 April, lazimnya diraikan dengan pertemuan keluarga, penghormatan kepada warga emas serta upacara keagamaan seperti membersihkan patung Buddha.
Warganegara Malaysia keturunan Siam juga meraikan festival ini.
“Kita bukan sekadar “menerima” kepelbagaian, kita menghayatinya setiap hari.
"Sama ada Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Deepavali atau Hari Gawai, setiap perayaan menambah warna kepada identiti kita sebagai sebuah negara," kata Gobind lagi.

Festival yang berlangsung di 1 Utama, Damansara ini kini memasuki tahun keempat penganjuran oleh EQ Solutions, dengan konsep terbuka yang cuba mengekalkan pengalaman Songkran ala Thailand — basah, meriah, dan penuh kebersamaan.
Bagi pengarah urusannya, Chuah Jo Vin, sambutan yang berterusan memberi keyakinan untuk terus memperbesarkan acara ini.
"Tahun in tahun keempat dan kita cuba kekalkan momentum sebab sambutan sebelum ini sangat menggalakkan," katanya.
Sepanjang 11 hari penganjuran, lebih 80,000 pengunjung dijangka hadir.
Tarikan pelancong
Cuah berkata festival ini semakin bersifat antarabangsa.
"Secara harian anggaran 5,000 hingga 6,000 orang, terutamanya pada waktu malam," katanya.
Menurutnya lagi, kira-kira 60 peratus pengunjung merupakan pelancong asing, khususnya dari negara Asia Tenggara seperti Thailand, Myanmar, Laos dan Kemboja — negara yang turut berkongsi tradisi Songkran.
Malah, data pendaftaran awal menunjukkan peningkatan kehadiran dari luar rantau termasuk Amerika Syarikat, Timur Tengah dan Asia Selatan — menjadikan festival ini semakin hampir kepada status tarikan global.

"Ini bukan lagi sekadar acara tempatan, tetapi sudah menjadi tarikan pelancong," katanya.
Selain permainan air, pengunjung disajikan dengan makanan asli Thailand, persembahan muzik secara langsung dan DJ setiap hari — dengan elemen muzik Thailand kekal sebagai nadi acara.
Namun, percubaan memperluaskan zon makanan halal sebelum ini tidak mendapat sambutan, menyebabkan jumlah vendor dikurangkan tahun ini.
“Pada edisi kali ini, terdapat tiga vendor makanan halal yang disediakan,” jelasnya.
Dari sudut keselamatan, penganjur memperkenalkan langkah lebih ketat termasuk pendaftaran wajib, sistem pengesanan identiti, kamera litar tertutup (CCTV), kawalan kemasukan menggunakan kod QR, serta lebih 30 anggota keselamatan setiap hari.
Penganjur berkata kira-kira RM80,000 diperuntukkan khusus bagi memastikan keselamatan, termasuk sistem pemantauan dan perkhidmatan ambulans sepanjang festival berlangsung.
